Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman
Atlet olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fatin Ilyana Mat Nayan, akhirnya menamatkan penantian penuh bermakna apabila dinobatkan sebagai Ratu Pecut 100 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 yang berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.
Pelari berusia 23 tahun itu mempamerkan aksi penuh bertenaga dan keyakinan tinggi apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 12.29 saat, sekali gus menghadiahkan pingat emas buat UPSI dalam acara riben biru wanita.
Kemenangan tersebut lebih manis apabila Fatin berjaya menewaskan pencabar terdekatnya, Azreen Nabila Alias dari Open University Malaysia yang meraih pingat perak dengan catatan 12.34 saat. Pingat gangsa pula menjadi milik Nabilah Natasha Azisyan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas mencatat masa 12.45 saat.
Bagi Fatin, kejayaan ini bukan sekadar kemenangan di atas trek, tetapi lambang kebangkitan selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan yang pernah membataskan prestasinya sebelum ini.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana berjaya meraih pingat emas ini. Segala usaha, latihan dan pengorbanan akhirnya membuahkan hasil,” katanya sejurus tamat perlumbaan akhir.



Menurutnya, kecederaan yang dialami tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pembakar motivasi untuk terus bangkit, berjuang dan membuktikan kemampuan diri.
Kejayaan Fatin membuktikan bahawa disiplin, ketabahan dan keazaman mampu mengatasi segala cabaran. Emas yang diraih bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, malah turut mengharumkan nama UPSI dalam arena olahraga universiti.
Dengan semangat juang yang tidak pernah luntur, Fatin Ilyana membuktikan bahawa di sebalik setiap kesukaran, pasti ada ruang untuk bangkit dan mencipta kejayaan.
