Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman
KUALA NERUS: Pelari pecut wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nor Anis Maisarah Mohamad Noor, mempamerkan larian penuh bertenaga apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara 200 meter wanita pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 yang berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.
Nor Anis membuktikan keunggulannya di trek apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 26.14 saat untuk muncul juara, sekali gus menghadiahkan mata berharga buat kontinjen UPSI.
Tempat kedua menjadi milik Nia Jovic Suan yang mencatat masa 26.37 saat, manakala pingat gangsa diraih oleh Bibi Halina Aloysius dari Politeknik Malaysia dengan catatan 26.56 saat. Ketiga-tiga pelari mempamerkan saingan sengit sepanjang perlumbaan, namun Nor Anis kekal tenang dan konsisten sehingga ke garisan penamat.



Kejayaan ini meneruskan rentak positif Nor Anis pada musim ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelari pecut wanita IPT yang semakin menyerlah dalam arena olahraga universiti.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan turut mencerminkan kekuatan skuad olahraga UPSI yang terus tampil sebagai antara pencabar utama dalam saingan VTF musim ini.
Dengan beberapa lagi siri kejohanan bakal berlangsung, Nor Anis dijangka terus menjadi sandaran UPSI dalam acara pecut wanita bagi memburu lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama universiti.
