Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki

Nibong Tebal, 18 April – Pasukan sepak takraw Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus membuktikan keunggulan apabila muncul juara kategori Regu dalam kejohanan Varsity Sepak Takraw League (VSL) 1 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia.

Dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik dan berintensiti tinggi, UPSI A berjaya menewaskan pencabar utama, UPM A, dengan keputusan 2-1. Aksi sengit antara kedua-dua pasukan nyata memukau penonton apabila masing-masing mempamerkan kemahiran, disiplin serta semangat juang yang tinggi sepanjang perlawanan.

Kejayaan UPSI A digerakkan oleh barisan pemain berpengalaman dan berbakat besar yang turut beraksi dalam liga profesional, antaranya Muhd Khairul Aman, Danish Irfan, Ashraf Qawi, Aqil Fawwaz dan Muhd Imran. Kombinasi pengalaman, keserasian pasukan serta semangat juang yang tinggi menjadi faktor utama kejayaan mereka mengungguli kejohanan tersebut.

Lebih membanggakan, Muhd Imran turut dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dalam kejohanan tersebut, sekali gus menambah lagi manis kejayaan pasukan UPSI dalam saingan kali ini.

Kecemerlangan pasukan sepak takraw UPSI tidak terhenti di situ apabila mereka turut berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam kategori Kuadran, sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang kontinjen UPSI dalam sirkit kali ini.

Kejayaan ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen tinggi para atlet dan barisan kejurulatihan, malah mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai antara kuasa utama dalam arena sepak takraw peringkat universiti. Berbekalkan momentum kemenangan ini, UPSI dijangka terus tampil kompetitif dan memberi saingan sengit dalam sirkit-sirkit akan datang.