Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman

NIBONG TEBAL, 20 April 2026 – Kontinjen olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menampilkan prestasi membanggakan apabila muncul naib juara keseluruhan pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2026 Sirkit 1 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Dalam kejohanan selama tiga hari itu, UPSI meraih keseluruhan 31 pingat menerusi tujuh emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Kecemerlangan kontinjen berkenaan turut digerakkan dua atlet pecut utama, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka yang masing-masing menyumbang pingat emas dalam acara 100 meter dan 200 meter lelaki serta wanita.

Turut mencuri tumpuan ialah kuartet 4×100 meter wanita UPSI yang berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 47.17 saat. Kuartet tersebut dibarisi Nur Wardatul Huwaida Mohd Hamka, Fatin Ilyana Mat Nayan, Mis’ezatul Shafieqa Sapawi dan Nur Izzati Eliani Suhaidi.

Ketua Jurulatih pasukan, Dr. Thariq Khan Azizuddin Khan berkata, kejayaan itu lahir daripada perancangan rapi serta komitmen tinggi yang ditunjukkan atlet dan barisan kejurulatihan sepanjang kejohanan.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan atlet dalam latihan selain semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang pertandingan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut akan dijadikan pemangkin untuk mempertingkatkan lagi prestasi pasukan menjelang siri kejohanan seterusnya.

Kejohanan berkenaan menghimpunkan atlet universiti terbaik negara dalam acara trek dan padang