Pengetua SMKDHK, Rosli Jamaluddin, merasmikan Program Tyregreen@School
Oleh: Dr Nurul Aini Mehat
Kuala Kubu Bharu, 12 September 2025 – Usaha bersama ke arah kelestarian alam sekitar terus diperkasakan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Kamaruddin (SMKDHK), Kuala Kubu Bharu menerima sumbangan tong kitar semula hasil usahasama antara Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan SMKDHK.
Projek ini diterajui oleh Dr. Nurul Aini Mehat selaku Pengarah Projek sempena Program Orientasi Sekolah (POS) yang berlangsung selama dua bulan. Kejayaan projek ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama daripada pihak UCTC, UPSI, pihak sekolah, serta sokongan penuh daripada Dekan, Fakulti Sains Kemanusiaan Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa. Ucapan penghargaan khusus turut disampaikan kepada UCTC UPSI atas sumbangan dana projek yang menjadi pemangkin kepada kejayaan usaha ini.

Tong kitar semula yang dihasilkan bukan sekadar tempat pengumpulan bahan buangan seperti kertas, plastik dan tin aluminium, malah turut menjadi wahana pendidikan kepada warga sekolah tentang kepentingan amalan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Recovery). Inisiatif ini diyakini dapat meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar serta memupuk budaya cintakan alam sekitar.


Perasmian berlangsung pada 12 September lalu telah disempurnakan oleh Pengetua SMKDHK, Tuan Rosli Jamaluddin, yang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut. “Pihak sekolah amat menghargai usaha murni UPSI khususnya melalui projek tong kitar semula ini. Ia bukan sahaja memberi kemudahan, malah menjadi pendidikan langsung kepada pelajar untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada warga sekolah untuk meneruskan budaya hijau,” katanya.

Guru pembimbing, Hazwani Abdul Ghani, pula menyifatkan projek ini sebagai pengalaman bermakna buat pelajar. “Tong kitar semula ini bukan sekadar sumbangan fizikal, tetapi lebih penting ialah nilai kesedaran yang disampaikan kepada pelajar. Mereka kini lebih faham bahawa menjaga kebersihan dan mengitar semula adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Menurut Dr Nurul Aini Mehat, projek ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada sekolah. “Tong ini bukan sahaja memudahkan warga sekolah menguruskan sisa, malah berperanan sebagai simbol kesedaran hijau yang perlu kita suburkan bersama,” ujarnya. Tambah beliau POS ini bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada pensyarah untuk lebih dekat dengan realiti persekolahan, tetapi juga membawa manfaat kepada sekolah apabila pensyarah dapat menyumbang idea segar, kepakaran akademik, serta khidmat bakti yang memberi nilai tambah kepada pembangunan warga sekolah.
Usaha ini menjadi contoh terbaik bagaimana kolaborasi antara universiti dan sekolah mampu menghasilkan impak positif, bukan sahaja dalam aspek pendidikan, tetapi juga dalam melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
