Oleh: Muhammad Airul Idham Baharin
Jertih, 9 September 2025 – Pasukan Petugas Khas Penyiasatan Keselamatan yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan sebuah bas persiaran di Kilometer 53, Jalan Gerik – Jeli pada 9 Jun 2025, telah memulakan lawatan kerja ke kediaman keluarga mangsa tragedi di sekitar Jerteh dan Besut, Terengganu bermula 9 September hingga 11 September 2025.


Lawatan ini dilaksanakan bagi tujuan melengkapkan analisis secara menyeluruh, memperkukuhkan dapatan hasil siasatan serta merumuskan syor keselamatan tambahan yang akan dimuatkan dalam Laporan Penyiasatan Akhir kelak.
Ketua Inspektor Kemalangan merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Brigadier Jeneral Tan Chee Kee mengetuai delegasi lawatan tersebut. Turut hadir, wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Encik Muhammad Airul Idham Baharin, Pegawai Tadbir dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPSI.


Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, profesional dan berpaksikan kebajikan mangsa serta keluarga mereka.
Pasukan Petugas Khas dijangka akan mengemukakan laporan akhir siasatan termasuk cadangan penambahbaikan keselamatan jalan raya kepada pihak berwajib selepas selesai semua sesi temu bual, lawatan lokasi dan analisis teknikal yang berkaitan.


