oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir, Auni Aqilah Harifin dan Muhammad Shahrul Danuri
TANJUNG MALIM, 25 Oktober 2025 – Seramai 28 orang pelajar Tingkatan Lima bersama dua orang guru pembimbing dari Asrama Yayasan Selangor Klang (AYSK) berpeluang merasai pengalaman kehidupan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui program lawatan akademik, TrigoQuest @ AYSK: Menjejak Sudut, Mencari Ilmu.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dengan kerjasama Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik serta AYSK pada 25 Oktober 2025.



Program yang berlangsung selama sehari ini bertujuan untuk memperkukuh penguasaan pelajar Tingkatan Lima AYSK dalam topik kritikal subjek Matematik Tambahan, iaitu Trigonometri.
Selain itu, program ini turut memberi pendedahan bermakna kepada peserta tentang suasana kehidupan di universiti, struktur program pengajian, bidang pengkhususan dan peluang akademik yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara amnya, serta di Fakulti Sains dan Matematik (FSM) secara khususnya.
Rombongan peserta yang bertolak dari AYSK seawal jam 7.30 pagi dan disambut meriah oleh ahli jawatankuasa (AJK) pelaksana di Blok Satu, FSM, Kampus Sultan Azlan Shah.
Sesi dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang dipimpin oleh AJK Program yang bertujuan untuk mencergaskan minda dan fizikal peserta sebelum memulakan sesi ilmiah.


Menguasai Trigonometri Melalui ‘Game-Based Learning’
Sesi akademik telah disusun secara interaktif bagi memastikan peserta dapat menerima ilmu dengan cara yang menyeronokkan. Peserta dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B untuk menyertai permainan berunsur akademik seperti Math Battle dan Bingo, sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu mengenai tajuk Trigonometri.
“Kaedah pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) ini terbukti lebih berkesan dalam membantu pelajar menguasai konsep yang kadangkala dianggap sukar seperti Trigonometri,” kata salah seorang AJK Aktiviti.
Peserta kemudiannya berhimpun di bilik seminar untuk membentangkan hasil perbincangan dan penguasaan yang mereka peroleh, sekali gus melatih kemahiran komunikasi dan pembentangan.


Menjelajah Sekitar Kampus dan Fasiliti di UPSI
Selain aktiviti akademik, peserta juga dibawa melawat sekitar kampus, termasuklah kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJ). Pada waktu tengah hari, para pelajar bergerak ke Masjid Al Mursyidin untuk menunaikan solat dan menikmati jamuan makanan tengah hari yang telah disediakan.
Lawatan diteruskan dengan sesi fotografi di Pusat Islam UPSI, sebelum dibawa menjelajah blok-blok di sekitar FSM dan berakhir di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 06. Pendedahan terhadap fasiliti seperti Dewan Kuliah Pusat ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menunjukkan infrastruktur pembelajaran moden yang ditawarkan UPSI.


Majlis penutupan program TrigoQuest @ AYSK telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Dr. Mohd. Ikhwan Hadi bin Yaacob pada jam 3.00 petang di DKP 06. Selepas itu, disusuli dengan sesi fotografi bersama peserta, guru pengiring dan pihak pengurusan PMMU sebelum rombongan bertolak pulang pada jam 4.00 petang.
