Nur Munira Azman (UPSI) dan Nurzhafarina (UMS) dinobat sebagai salah seorang Pemenang Anugerah Biji Alam 2025

Oleh: Natalie Yong & Nur Munira Azman

23 Oktober 2025, Kuala Lumpur – Anugerah Biji Alam baru-baru ini telah mengadakan edisi kedua Anugerah Malaysia pada 23 Oktober bagi mengumumkan dua penerima Outstanding Malaysian Nature Conservationist Award 2025.

Pada tahun ini, Anugerah Biji Alam menganugerahkan RM35,000 setiap seorang kepada Dr. Nur Munira Azman, pengasas Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP), iaitu kumpulan sukarelawan bebas yang berdedikasi dalam usaha pemuliharaan burung pantai bermigrasi di Malaysia yang beroperasi di kawasan pantai Teluk Air Tawar–Kuala Muda (TAT-KM) di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Dr. Nurzhafarina Othman, pengasas Seratu Aatai, sebuah pertubuhan berdaftar di Sabah yang komited melindungi gajah Borneo di kawasan Kinabatangan Hilir melalui usaha memupuk keharmonian antara manusia dan haiwan tersebut.

Selain dua anugerah utama, geran khas projek bernilai RM10,000 turut disampaikan kepada Friends of Bukit Kiara atas usaha mereka melindungi Taman Persekutuan Bukit Kiara di tengah-tengah Kuala Lumpur. Geran ini akan menampung sebahagian kos kajian biodiversiti bagi menyokong permohonan kepada pihak berkuasa perancangan untuk mewujudkan zon penampan hijau yang memperluas perlindungan hidupan liar di luar sempadan taman tersebut. www.fobk.org

Ditubuhkan pada tahun 2024, Anugerah Biji Alam diterajui oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin dan pakar alam sekitar untuk mewujudkan satu platform yang menyokong serta mengiktiraf usaha cemerlang konservasionis pertengahan kerjaya di negara ini. Anugerah dan program sokongan berkaitan dibiayai oleh penderma individu, yayasan keluarga, penaja korporat MDV (Malaysian Debt Ventures) serta rakan-rakan kerjasama lain.

Pemenang tahun lalu ialah Dr. Yap Jo-Leen dari Langur Project Penang Hub, yang mempromosikan keharmonian antara manusia dan primat di kawasan bandar; dan Dr. Chong Ju Lian dari Save Our Pangolins, yang melindungi tenggiling Sunda di Malaysia.

Natalie Yong, pengasas bersama (co-founder) Pertubuhan Biji Alam

Dalam ucapannya semasa majlis penyampaian anugerah, pengasas bersama Biji Alam Natalie Yong berkata; “Peranan kami adalah untuk menyalurkan sumbangan kepada individu dan projek yang mampu memberikan impak paling berkesan dengan dana yang diterima, sambil meraikan para konservasionis yang membawa manfaat kepada kita semua.”

Dr. Nur Munira Azman dan pasukan SPMP memberi tumpuan kepada tapak TAT-KM di Seberang Perai, Pulau Pinang, kawasan penting sebagai lokasi musim sejuk di sepanjang East Asian–Australasian Flyway (EAAF) yang dianggarkan digunakan oleh 50 juta burung setiap tahun dalam perjalanan mereka dari Alaska ke New Zealand. Kawasan tanah lembap pantai dan hutan bakau ini juga menjadi habitat kepada berbilang spesies seperti memerang, monyet, ketam serta menjadi tapak pembiakan ikan dan hidupan marin lain.

Munira berkata, “Semangat berani burung pantai yang bermigrasi, itulah semangat yang hidup dalam diri saya.”

Anugerah Biji Alam akan membiayai usaha berterusan Munira dan pasukan SPMP dalam pemantauan serta pengumpulan data burung pantai, penganjuran program kesedaran dan bengkel ekopelancongan untuk komuniti nelayan tempatan bagi menyokong permohonan supaya kawasan TAT-KM diiktiraf secara rasmi sebagai tapak laluan oleh EAAF Partnership (EAAFP), sebuah badan antarabangsa yang melindungi laluan tersebut.