Oleh: Isma Nizam Ismail
Kampung Gajah, 12 Jun 2026 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Program Ziarah Alumni di SMK Lambor Kiri sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap alumni UPSI yang sedang berkhidmat di sekolah berkenaan. Program ini tercetus hasil sebuah video yang dimuat naik oleh pihak sekolah di platform TikTok yang memaparkan dedikasi serta komitmen warga pendidiknya dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa. Video tersebut telah menarik perhatian pihak UPSI sekali gus mencetuskan hasrat untuk menziarahi serta menyantuni alumni yang berbakti di sekolah tersebut.
Delegasi UPSI yang hadir disambut mesra oleh pihak pengurusan sekolah serta warga pendidik. Program ini menjadi medan terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara universiti dan alumni di lapangan, selain menghargai jasa serta sumbangan mereka dalam memperkasakan dunia pendidikan negara.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, YBrs. Prof. Madya Dr. Norkhalid bin Salimin, yang telah menyampaikan ucapan penuh bermakna kepada semua yang hadir. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian dan komitmen alumni UPSI yang sentiasa membawa nama baik universiti melalui khidmat bakti mereka di institusi pendidikan. Beliau turut menekankan bahawa alumni merupakan aset penting universiti yang menjadi penghubung antara UPSI dengan masyarakat serta memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak.
Beliau juga berharap agar hubungan erat antara UPSI dan alumni akan terus diperkukuh melalui pelbagai program jaringan dan kolaborasi pada masa hadapan. Semangat kekitaan yang dipupuk melalui program seperti ini diyakini mampu menyemarakkan lagi budaya saling menyokong dan menghargai dalam kalangan keluarga besar UPSI.



Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang beramah mesra, berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan dan peranan alumni dalam menyokong aspirasi universiti. Suasana yang penuh mesra dan harmoni jelas menggambarkan hubungan erat yang terus terjalin walaupun alumni telah lama menamatkan pengajian.
Program Ziarah Alumni di SMK Lambor Kiri ini membuktikan bahawa sebuah perkongsian di media sosial mampu menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih bermakna antara universiti dan alumninya. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh jaringan alumni UPSI, malah menjadi simbol penghargaan universiti terhadap pengorbanan dan dedikasi para alumninya yang terus menabur bakti dalam bidang pendidikan demi kemajuan negara.
