Oleh: Isma Nizam Ismail

Tanjung Malim, 7 Jun 2026 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Forum Alumni Talk bersempena FPM Fest 2026 yang berlangsung di Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Abdul Shah (KSAS), UPSI. Program ini menjadi platform untuk menghimpunkan alumni dan mahasiswa dalam satu sesi perkongsian yang memberi fokus kepada pembangunan diri, persediaan kerjaya serta pengalaman selepas menamatkan pengajian.

Forum tersebut menampilkan Iman Saidin sebagai panel jemputan yang berkongsi pengalaman beliau dalam membina kerjaya, cabaran yang dihadapi serta pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan sebagai seorang graduan. Beliau turut menekankan kepentingan memiliki kemahiran insaniah, sikap proaktif, kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan serta semangat untuk terus belajar bagi meningkatkan nilai diri dalam pasaran pekerjaan.

Sesi forum dikendalikan dengan baik oleh Nur Alia Zahirah Zainon binti Hamzah Tai selaku moderator yang berjaya menghidupkan suasana perbincangan melalui soalan-soalan yang menarik dan bersesuaian dengan keperluan mahasiswa pada masa kini. Perbincangan yang berlangsung secara santai tetapi penuh pengisian memberi peluang kepada peserta untuk memahami realiti alam pekerjaan daripada perspektif seorang alumni.

Program ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa yang hadir. Sesi soal jawab yang diadakan membuka ruang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan secara langsung mengenai persediaan menghadapi temu duga, cabaran di tempat kerja, pembinaan kerjaya serta kepentingan membina jaringan profesional sejak di peringkat universiti. Penglibatan aktif para peserta menjadikan forum ini lebih interaktif dan bermakna.

Penganjuran Forum Alumni Talk FPM Fest 2026 bukan sahaja mengeratkan hubungan antara alumni dan warga universiti, malah menjadi medium perkongsian pengalaman yang dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa dalam merancang masa depan mereka. Diharapkan program seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh jaringan alumni UPSI serta melahirkan graduan yang lebih bersedia, berkeyakinan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan.