Oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah,Dr. Nurihan Nasir , Noor Hidayah Jaafar dan Asisia Ramonia Lawrence Mauh.

Tanjong Malim, 18 Oktober 2025 – Program Fun Walk: Miles of Memories anjuran Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) dan Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya.

Program ini bertujuan menyemarakkan semangat kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswa UPSI.

Program yang menghimpunkan lebih daripada 30 orang ahli jawatankuasa dan dihadiri lebih daripada 100 orang peserta ini dijalankan bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan membina jalinan ukhuwah antara mahasiswa daripada pelbagai kursus di UPSI.

Aktiviti santai ini menekankan pentingnya keseimbangan antara akademik dan kesihatan diri selaras dengan hasrat UPSI melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Peserta sedang mewarna baju mereka mengikut kreativiti masing-masing.
Peserta sedang mewarna baju mereka mengikut kreativiti masing-masing.
Aktiviti senamrobik yang diketuai oleh sebahagian daripada ahli jawatankuasa program.

Menurut Pengarah Program, Noor Hidayah binti Jaafar, objektif utama aktiviti ini adalah untuk memberi ruang kepada pelajar melepaskan tekanan pembelajaran sambil beriadah bersama rakan-rakan.

“Program seperti ini bukan sekadar berjalan santai tetapi menjadi wadah membina semangat kebersamaan dan kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti sampingan turut dijalankan termasuk sesi senamrobik, cabutan bertuah dan sesi bergambar sebagai kenangan.

Suasana ceria dan semangat kerjasama jelas terpancar dalam kalangan peserta. Menariknya, tiga orang peserta telah dipilih sebagai pemenang utama berdasarkan kecantikan dan keunikan corak baju yang mereka hasilkan sepanjang program berlangsung.

Pertandingan ini bukan sahaja menguji kreativiti peserta malah menonjolkan bajat seni dalam kalangan mahasiswa yang menyertai program.

Sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kepada pemenang
Sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kepada pemenang
Sesi bergambar bersama peserta yang hadir sebagai kenang-kenangan.

Salah seorang peserta Program Fun Walk: Miles of Memories, Syafize meluahkan rasa terujanya menyertai program ini. “Program ini memang best sebab kami boleh lukis-lukis dan warna sendiri baju,” katanya sambil tersenyum.

Secara keseluruhan, Program Fun Walk: Miles of Memories bukan sahaja berjaya mencapai matlamatnya malah menjadi simbol kesepaduan dan semangat kekeluargaan warga UPSI dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang selain menjadi wadah untuk mengasah kreativiti serta membina kenangan indah sepanjang beradaan di UPSI.