Oleh : Prof Madya Dr Shakinaz Desa dan Dr Aisyah Mohamad Sharif
TANJONG MALIM, 14 Oktober 2025 – Dalam usaha memperkukuh transformasi pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi UPSI STEM Nurturing Center dengan kerjasama Pusat ICT telah menganjurkan Bengkel Pembangunan GPT bagi Siri Kedua: Kembara AI Bitara, bertempat di Biology Teaching and Learning Integrated Smart Space (BLITSS), Fakulti Sains dan Matematik.
Program selama dua hari itu yang berlangsung pada 13 dan 14 Oktober berjaya menghimpunkan guru-guru dari daerah Hulu Selangor dengan objektif utama membimbing mereka membangunkan Generative Pre-trained Transformer (GPT) untuk memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc) di sekolah melalui integrasi AI secara kreatif dan beretika.



Bengkel tersebut dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Shakinaz Desa, Felo UPSI STEM Nurturing Center. Beliau juga merupakan Certified Digital Content Creator, Kementerian Pengajian Tinggi, dan Fasilitator bagi MyDIGITAL EDUCATORS @ MOHE.
Program ini telah dirancang bersama Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan), En. Shahrul Riza Razali, dan Pegawai SISC+, En. Zuhaidi Mukrim.
Melalui kombinasi kepakaran akademik dan bimbingan teknikal, bengkel ini menjadi platform strategik untuk melahirkan guru yang bukan sahaja celik digital tetapi juga berperanan sebagai pencipta inovasi pendidikan.



Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada asas prompt engineering, reka bentuk GPT beretika, dan aplikasi praktikal AI dalam konteks bilik darjah. Hasilnya, guru-guru berjaya menghasilkan pelbagai GPT kreatif seperti Grammar Sifoo, Vocab Trainer, Algebra Tutor, Eduvensi, Tutor Matematik Mesra, TenagaXpert, PiBuddy, AyatPro, KarangKlick, serta CuraiBoard, GPT yang direka untuk membantu urusan minit mesyuarat secara automatik dan sistematik.
Menurut Cikgu Haidatul Nadia, salah seorang peserta bengkel, pengalaman tersebut membuka lembaran baharu dalam amalan pengajaran beliau.
“Seronok dapat belajar bina GPT sendiri. Tak sangka rupanya guru juga boleh hasilkan teknologi sebegini. Lepas ini saya ingin bina lebih banyak GPT untuk bantu PdPc saya,” katanya dengan penuh semangat.
Dalam sesi refleksi, Dr. Shakinaz menegaskan bahawa GPT dalam pendidikan tidak wajar digunakan sebagai alat mencari jawapan semata-mata, sebaliknya sebagai medium yang menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal dan sistematik.



“Sebagai pendidik, kita perlu pastikan GPT yang dibina bukan menjadikan pengguna sebagai answer grabber, tetapi membantu mereka berfikir secara mendalam dan reflektif. GPT bukan pengganti guru, sebaliknya pendamping yang menyokong PdPc secara lebih berkesan,” jelas beliau.
Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor (Sektor Pembelajaran), Puan Rohaida Ismail. Dalam ucapan penutupnya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap usaha para guru yang berjaya menghasilkan GPT pertama mereka dan menyeru agar AI digunakan secara bijak dan berhemah dalam dunia pendidikan.
“Gunakan AI untuk merangsang pemikiran pelajar, bukan untuk mematikan daya fikir mereka. Jadilah guru yang membantu rakan sejawat agar turut sama menguasai kemahiran membina GPT,” pesan beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UPSI STEM Nurturing Center atas inisiatif yang memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan sekolah dalam memperkasa pendidikan digital negara.
Sementara itu, En. Shahrul Razali pula menyatakan bahawa inovasi seperti ini perlu diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan kesediaan guru mendepani arus transformasi AI dalam pendidikan.
“Kita mahu melihat guru bukan hanya sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai pencipta inovasi yang memberi impak kepada ekosistem pendidikan,” katanya.
Bengkel Kembara AI Siri 2 ini menjadi bukti bahawa guru masa kini mampu berperanan sebagai arkitek kecerdasan pendidikan seperti mencipta GPT. Ini bukan sekadar untuk memudahkan tugasan, tetapi juga untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar. Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan, guru-guru Hulu Selangor kini melangkah ke hadapan sebagai peneraju pendidikan era AI, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan warga pendidik celik digital, kreatif, dan berfikir aras tinggi.
Kejayaan pelaksanaan bengkel ini mengukuhkan kedudukan UPSI STEM Nurturing Center sebagai pusat rujukan nasional dalam latihan literasi AI dan pembangunan kapasiti guru. Melalui program seumpama ini, UPSI bukan sahaja melahirkan pendidik berkemahiran tinggi, malah turut menyumbang secara langsung kepada agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa ekosistem pendidikan digital negara. Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi pendidik yang mampu menerajui pendidikan berasaskan AI dengan minda kreatif, analitik dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Dengan pencapaian ini, UPSI membuktikan komitmennya sebagai universiti pendidik terulung yang bukan sekadar mendidik guru, tetapi juga membentuk generasi pendidik masa depan yang mampu mentransformasikan bilik darjah menjadi ruang pembelajaran pintar dan adaptif. Maka, inisiatif Kembara AI Bitara bukan sekadar bengkel, tetapi sebagai simbol dalam kesungguhan terhadap memberi nilai kepada transformasi landskap pendidikan negara.
