Oleh: Dr Harnani Mat Zin

Tanjung Malim, 14 November 2025 –Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) bagi membincangkan peluang kerjasama dalam memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak di negeri tersebut.

Kunjungan yang diketuai oleh Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap KPWK turut disertai oleh beberapa orang pegawai kanan KPWK dan disambut oleh pihak pengurusan NCDRC.

Lawatan kerja tersebut bertujuan mendapatkan pendedahan lebih mendalam mengenai kepakaran NCDRC dalam bidang penyelidikan, latihan profesional dan pembangunan modul berkaitan pengasuhan serta pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut Datu Felicia Tan Ya Hua, kunjungan ini membuka ruang kepada kolaborasi lebih luas khususnya dalam bidang latihan guru, pembangunan modul pengasuhan, serta pengumpulan data bersepadu mengenai perkembangan kanak-kanak di Sarawak.

“Sarawak komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak. Melalui kerjasama dengan NCDRC, kami percaya lebih banyak program berimpak dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Pihak KPWK menyatakan komitmen untuk memperluas usaha meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak melalui kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan nasional seperti NCDRC.

Delegasi turut dibawa meninjau fasiliti penyelidikan yang ada di NCDRC bagi memahami dengan lebih jelas bidang keupayaan organisasi tersebut.

Dalam sesi perbincangan tersebut, NCDRC turut berkongsi kepakaran mereka dalam penyelidikan, pembangunan modul latihan profesional, dan inisiatif advokasi dasar yang menyokong ekosistem pendidikan awal di peringkat kebangsaan. Delegasi kementerian turut dibawa meninjau kemudahan penyelidikan di NCDRC.

Kunjungan ini menandakan langkah penting dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi penyelidikan nasional dan kerajaan negeri demi memastikan pembangunan awal kanak-kanak terus diperkasa secara bersepadu.