Oleh : Mohamad Haziq Hisham Dan Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan satu inisiatif unik dan inovatif kepada warga kampus dengan pelancaran Barber Bus UPSI, sebuah kedai gunting rambut bergerak yang ditempatkan di kawasan tumpuan pelajar.
Barber Bus UPSI yang tampil dengan rekaan moden berwarna kuning merupakan sebuah bas yang diubah suai sepenuhnya dan dilengkapi kemudahan gunting rambut profesional. Inisiatif ini dijalankan oleh Fakulti Teknik dan Vokasional (FTV) sebagai usaha membawa perkhidmatan yang mudah diakses, bergaya serta memberi pendedahan keusahawanan kepada pelajar.
Bahagian dalam bas tersebut dilengkapi kerusi barber, cermin, peralatan dandanan profesional serta tiang barber merah-putih yang mengekalkan elemen tradisional dalam suasana moden. Perkhidmatan ini terbuka kepada pelajar dan staf UPSI, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan khidmat gunting rambut tanpa perlu keluar dari kampus.
Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FTV), Dr Mohd Azlan Mohammed Hussin, berkata idea menukar bas yang hampir dilupuskan kepada sebuah kedai gunting rambut bergerak tercetus hasil pengalamannya di Amerika Syarikat.
“Idea untuk menjadikan bas yang hampir lupus itu timbul berdasarkan pengalaman saya ketika berada di Amerika Syarikat. Di sana, konsep perkhidmatan bergerak sangat popular dan efektif,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memanfaatkan aset sedia ada universiti, malah memberi nilai tambah melalui pendekatan kreatif dan praktikal yang berfokuskan keperluan pelajar.
Selain menyediakan perkhidmatan dandanan, Barber Bus UPSI turut berfungsi sebagai platform inspirasi kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan, perkhidmatan bergerak serta industri kreatif. Dengan reka bentuk yang menonjol dan konsep yang inovatif, Barber Bus UPSI kini menjadi salah satu tarikan baharu di kampus.
