Oleh: Fararovila Anak Aji, Norsyalia A/P Raja, Mahzuz Irfan
Tanjong Malim, 27 Disember 2025 – Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Forum Antarabangsa: Kepimpinan Global Melalui Pemerkasaan Intelek Siswa sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh pembinaan kepimpinan mahasiswa berteraskan intelek, nilai dan pemikiran global.
Forum ini menjadi platform interaksi dua hala yang menghimpunkan organisasi mahasiswa daripada pelbagai intitusi pengajian awam seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKL), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Politeknik Kuching Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang dan IPG Kampus Terangganu serta penglibatan peserta daripada universiti luar negara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Al-Azhar, Universitas Islam Negeri (UIN) Salatiga dan Universitas Airlangga.



Seramai 848 orang pemimpin mahasiswa telah terlibat, menjadikannya antara kolaborasi mahasiswa terbesar bagi sesi 2025/2026. Daripada jumlah tersebut, 122 orang peserta mengikuti forum melalui Google Meet, manakala selebihnya menyertai secara langsung menerusi Facebook Live.
Mengangkat tema “Kepimpinan Global Melalui Pemerkasaan Intelek Siswa”, sesi forum ini menampilkan dua panel berpengalaman iaitu Yang Dipertua (YDP) UNISSA, Brunei Darussalam, Ahmad Danieel dan Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan.
Perbincangan forum memberi tumpuan kepada kepentingan pemerkasaan intelek sebagai asas pembentukan kepimpinan mahasiswa yang holistik, berdaya saing dan berwawasan global.
Sebelum sesi forum dimulakan, majlis telah diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua iaitu Encik Zulkifli Bin Mamat pengetua Kolej Aminuddin Baki.
Beliau menekankan bahawa penganjuran forum ini memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, di samping mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kerjasama dalam suasana yang harmoni. Pengalaman yang diperoleh diyakini dapat
dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan kerjaya pada masa hadapan. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesuatu program bukan hanya bergantung kepada pihak penganjur, tetapi juga sokongan dan penglibatan aktif semua warga kolej.
Para peserta digalakkan untuk mengambil peluang ini sebaik mungkin dengan bertanya, berdiskusi dan berkongsi pandangan yang membina kerana setiap idea berpotensi membawa perubahan yang besar.
Akhir sekali, beliau berharap agar sesi forum ini dapat dijalankan dengan penuh semangat dan keterbukaan serta memberi manfaat dan impak positif kepada semua yang terlibat.
Dalam ucapan Pengarah Program Forum Antarabangsa: Kepimpinan Global Melalui Pemerkasaan Intelek Siswa, beliau menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk mendedahkan para siswa kepada isu kepimpinan semasa dalam konteks global serta menggalakkan pemikiran kritikal dan inovatif dalam membentuk kepimpinan yang beretika, berintegriti dan lestari.



Penekanan turut diberikan kepada nilai empati, etika dan tanggungjawab sosial dalam melahirkan pemimpin yang seimbang dari aspek akademik, profesional dan sahsiah.
Pengarah Program juga berharap agar forum ini menjadi wadah perkongsian ilmu, pertukaran pandangan dan pembinaan jaringan antarabangsa, serta memberi manfaat berterusan kepada para peserta untuk diaplikasikan dalam kehidupan, pengajian dan kepimpinan pada masa hadapan.
Dalam sesi forum, Ahmad Danieel menegaskan bahawa aset sebenar sesebuah negara bukan terletak pada sumber semula jadi semata-mata, tetapi pada kekuatan intelek dan ilmu golongan muda.
Beliau menekankan bahawa pendidikan merupakan medium penting untuk membentuk keupayaan berfikir secara kritis, membezakan antara fakta dan emosi serta melahirkan pemimpin yang mampu membuat keputusan berasaskan rasional dan kebenaran.
Menurut beliau, pemerkasaan intelek merupakan asas kepada pembangunan negara yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ng Zhen Fan menekankan kepentingan kefahaman ilmu secara mendalam berbanding hafalan semata-mata.
Beliau menjelaskan bahawa mahasiswa perlu berani mempersoalkan, memahami konsep dan mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar selari dengan pendekatan pembelajaran berasaskan masalah dan projek.
Beliau turut menyorot cabaran literasi maklumat dalam era digital serta menegaskan bahawa mahasiswa perlu berfikir secara analitikal dan reflektif agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu atau bersifat sensasi.
Perbincangan forum turut menyentuh isu tekanan sosial dan mental dalam kalangan mahasiswa, penggunaan teknologi secara berhemah serta kepentingan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai medan pembentukan kepimpinan sebenar.
Menurut beliau, kepimpinan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jawatan semata-mata, sebaliknya melalui cara berfikir, keberanian mencuba, kesediaan menerima pandangan serta keupayaan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.
Secara keseluruhan, sesi forum ini berjaya memberi pendedahan menyeluruh kepada para peserta mengenai peranan intelek dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang berwawasan, beretika dan bertanggungjawab.
Program ini turut memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi serta menyemai kesedaran bahawa pembangunan intelek merupakan pelaburan utama dalam membentuk kepimpinan masa hadapan yang mampan.
