Oleh: Wan Muhammad A’mmar, Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin
Tanjung Malim, 29 April 2026 – Persatuan Pendidikan Islam (PPI) telah mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan FSK Sport Day 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 29 April 2026. Program anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) ini telah diadakan di dua lokasi utama iaitu Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
FSK Sport Day merupakan acara tahunan yang menghimpunkan mahasiswa/i daripada pelbagai persatuan di bawah FSK dalam semangat kesukanan, perpaduan dan persaingan sihat. Pelbagai acara telah dipertandingkan sepanjang kejohanan termasuk bola sepak, badminton, bola jaring, bola tampar, futsal, boling, petanque, e-sport serta pertandingan perarakan kontinjen.



PPI telah menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengutip mata menerusi beberapa acara utama. Antara pencapaian terbaik yang berjaya diraih ialah johan bola tampar lelaki dan bola tampar perempuan, sekali gus membuktikan kekuatan pasukan PPI dalam acara tersebut. Selain itu, pasukan futsal turut menampilkan aksi memberangsangkan apabila menamatkan saingan sebagai naib juara.
Dalam acara lain, pasukan bola sepak PPI berjaya memperoleh tempat ketiga, manakala wakil boling lelaki pula meraih tempat kedua. Bagi acara petanque, wakil lelaki berjaya memperoleh tempat kedua, sementara wakil wanita menamatkan saingan di tempat ketiga. Dalam pertandingan perarakan kontinjen, PPI turut menyerlah dengan persembahan yang kreatif dan tersusun apabila berjaya meraih tempat kedua. Kontinjen PPI tampil dengan konsep bertemakan “ZUS Coffee” yang menonjolkan elemen moden, santai dan dekat dengan gaya hidup mahasiswa masa kini. Pemilihan tema ini bukan sahaja unik, malah berjaya menarik perhatian para juri dan penonton yang hadir.
Kejayaan-kejayaan ini sekali gus meletakkan Persatuan Pendidikan Islam di kedudukan tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan tersebut. Tempat pertama keseluruhan dimenangi oleh Persatuan Geografi, manakala tempat kedua menjadi milik Persatuan Pengajian Malaysia.


Menurut wakil kontinjen, pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih para atlet, jurulatih, penyokong serta barisan pengurusan yang sentiasa memberikan komitmen tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. Semangat setiakawan, disiplin serta sokongan padu daripada ahli persatuan menjadi faktor utama kejayaan yang diraih.
Secara keseluruhannya, penyertaan Persatuan Pendidikan Islam dalam FSK Sport Day 2026 bukan sahaja membuahkan kejayaan dari sudut pencapaian, malah berjaya mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa serta menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus. Diharapkan kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kecemerlangan pada edisi akan datang.
