Oleh: Dhiya’ Wafaa’ Binti Johari , Nur Dhania Binti Mohamed Safi dan Muhammad Zamzini bin Mohd Zamani

Tanjong Malim- Kolej Za’ba melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan dalam Kejohanan Tenpin Bowling Piala TNC HEPA Universiti Pendidikan Sultan Idris hasil prestasi cemerlang dan penguasaan dalam beberapa kategori utama yang dipertandingkan.

Kejohanan ini berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan dengan penyertaan pelbagai pasukan dari pelbagai kolej kediaman . Namun begitu, komitmen tinggi, disiplin serta kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh kontinjen Kolej Za’ba telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan.

Dalam Kategori Pengetua, Encik Yusof bin Ahmad berjaya meraih gelaran Johan, sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan melalui teladan serta sokongan berterusan terhadap penglibatan aktif dalam bidang sukan.

Sementara itu, Kategori Pelajar Lelaki Berkumpulan turut menyaksikan kejayaan Kolej Za’ba apabila pasukan yang dianggotai oleh Zarith Firdaus bin Reza, Muhammad Muaddib Syahir bin Ilias, Ahmad Firdaus bin Ahmad Fadzli dan Muhammad Aiman bin Azni dinobatkan sebagai Johan selepas mempamerkan permainan yang konsisten dan berstrategi.

Kecemerlangan diteruskan dalam Kategori Pelajar Perempuan Berkumpulan apabila pasukan yang terdiri daripada Fatin Najihah binti Azhar, Nur Hazirah Irdina binti Faisal, Asma Zuhairah binti Mazlin dan Noratiqah Syauqina binti Hasmidi turut berjaya merangkul Johan, sekali gus melengkapkan dominasi Kolej Za’ba dalam kejohanan ini.

Lebih membanggakan, Muhammad Aiman bin Azni telah dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik selepas mencatatkan jumlah nilai pin sebanyak 576, satu pencapaian luar biasa yang menyerlahkan bakat dan dedikasi beliau dalam sukan tenpin bowling.

Secara keseluruhannya, kejayaan ini mencerminkan semangat kesukanan, kerjasama erat serta komitmen tinggi dalam kalangan warga Kolej Za’ba. Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian cemerlang dalam bidang sukan dan kokurikulum pada masa akan datang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang serta pihak yang terlibat dalam mengharumkan nama Kolej Za’ba.