Oleh: Sajarutul Nor Kasim
TANJONG MALIM – Setelah lebih dua dekad menjadi mercu tanda budaya ilmu di selatan Perak, Pesta Buku Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali dengan edisi ke-21. Dianjurkan oleh Pejabat Karang Mengarang (PKM) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), pesta buku tahunan ini berlangsung selama empat hari, 21 hingga 24 Oktober 2026, di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Sejak dianjurkan pada 2006, Pesta Buku UPSI berkembang menjadi antara acara perbukuan yang dinanti-nantikan di rantau Tanjong Malim. Ia menghimpunkan penerbit universiti (MAPIM), penerbit swasta, agensi kerajaan serta penggiat industri kreatif dan persuratan tanah air dalam satu platform.
Pengarah PKM, Prof. Madya Dr. Nordiana Hamzah, berkata edisi ke-21 ini membawa semangat yang lebih besar daripada sekadar urusan jual beli buku.
“Pesta Buku UPSI bukan sekadar medan jualan, tetapi platform penting untuk menyemarakkan budaya membaca dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Kami berhasrat menjadikannya hab ilmu dan wacana intelektual yang memberi impak positif bukan sahaja kepada warga universiti, malah komuniti setempat di Tanjong Malim dan kawasan sekitar,” katanya.
Kemuncak pesta buku ini ialah Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI 2026 dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan Penerbit UPSI pada 22 Oktober 2026, yang dijangka dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari.
Pada majlis yang sama, buat julung kalinya UPSI turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Penulisan Novel bertemakan “Ilmiah Cinta”, yang dianjurkan bersama Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
“Pertandingan ini diadakan khusus untuk mencungkil bakat dan kreativiti warga serta alumni UPSI dalam menghasilkan karya novel yang bermutu. Ia usaha kami memupuk budaya penulisan kreatif dalam kalangan komuniti akademik, di samping memberi ruang kepada bakat baharu untuk bersinar di persada sastera negara,” ujar Dr. Nordiana.
Selain itu, pengunjung turut dihidangkan pelbagai program menarik, antaranya sesi bedah karya Pertemuan di Tepi Tasik, sesi inspirasi “Dari UPSI ke Pentas Media” bersama Anas Farihin, bengkel komik “Lukis, Cuba, Jadi” bersama Abu Huzza (Pelukis Komik M), rakaman langsung Sendidik Podcast dan persembahan muzik caklempong oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, di samping kuiz interaktif harian dengan pelbagai hadiah menarik.
Jualan dan pameran buku pula akan dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam, memberi ruang santai buat pengunjung meneroka pelbagai koleksi daripada pempamer.
“Justeru itu, saya ingin menyeru orang ramai dan warga UPSI turut serta meraikan edisi istimewa ini, semoga kehadiran pengunjung terus menyuburkan minat membaca dan menghargai khazanah ilmu tanah air,” katanya.
