Oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 20 September 2026 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Bengkel Semakan Akhir Permohonan Pengindeksan Scopus Bersama Perunding Jurnal UPSI 2026 pada hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Sapphire, NCDRC.
Sesi ini dimulakan dengan ucapan wakil Pengarah PKM yang juga Timbalan Pendaftar Kanan, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain.
Menurut Ahmad, bengkel ini bertujuan untuk membuat semakan akhir kualiti jurnal sebelum dihantar ke Scopus.
“Susulan bengkel yang dianjurkan pada 25-27 Februari 2026 di Hotel Tamu, setiap jurnal telah diberi masa untuk membuat penambahbaikan jurnal masing-masing” kata Ahmad.
“Seperti penganjuran bengkel lalu, PKM mengharapkan di hujung bengkel nanti, Ketua Editor dapat menekan butang “hantar” di portal permohonan Scopus” tambah Ahmad.
Seterusnya, sesi bengkel dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Ramadhansyah Putra Jaya dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melibatkan Southeast Asia Early Childhood Journal (SAECJ).
Dalam sesi ini, Dr Ramadhansyah memberi bimbingan terhadap perkara teknikal setiap artikel termasuk keperluan memilih artikel yang terdiri daripada variasi penulis dari setiap benua termasuk sidang editor selain penasihatan berkaitan sitasi dan jua terma “kecerdasan buatan”.



Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan) PKM, Dr Laili Farhana Md Ibharim berkata permohonan Scopus bagi SAECJ akan dihantar pada November 2026 nanti setelah mengambilkira beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Ketua Seksyen Jurnal PKM, Ahmad Janatul Firdaus berkata empat orang dari pasukan SAECJ hadir ke sesi ini selain staf Seksyen Jurnal sendiri. Manakala barisan editor Asian Journal of English Language dan Pedagogy (AJELP) tidak dapat hadir bagi sesi ini. Namun demikian, Dr Ramadhasyah turut membuat semakan kualiti jurnal berkenaan.
“PKM akan menganjurkan beberapa lagi siri bengkel seperti ini bagi tempoh November dan Disember 2026 untuk jurnal lain yang disasarkan pengindeksan Scopus oleh Universiti.” kata Ahmad ketika ditemui diakhir bengkel.

