oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 14 September 2026 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) hari ini menerima tetamu dari Penerbit Universiti Malaya (UM) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, PKM, jam 10 pagi.
Pengarah Penerbit UM, Profesor Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata kunjungan ke UPSI bagi memberi peluang kepada kakitangan mereka melaksanakan program penandarasan khasnya di luar UM.
Sementara itu, Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah dalam ucapannya, mengalukan kehadiran delegasi UM yang sudi berkunjung ke UPSI.
“Ini merupakan julung-julung kalinya, pihak PKM menerima lawatan dari Penerbit UM” tambahnya.
Dalam sesi yang berlangsung hampir dua jam, kedua pihak berkongsi amalan terbaik dan pengalaman menguruskan hal ehwal perbukuan dan penerbitan. Turut dibincangkan beberapa kerjasama yang boleh memanfaatkan kedua Universiti. Ini termasuk Kunjungan secara Bersama PKM dan Penerbit UM ke Shoppee Malaysia bagi tujuan pemasaran dan jualan buku.



Sesi kemudiannya diteruskan dengan lawatan ke sekitar pejabat PKM. Sesi kunjungan ke stor buku memberi input yang jelas berkaitan pengurusan stok buku oleh PKM. Delegasi Penerbit UM mengambil peluang ini untuk melihat sendiri stor buku tersebut.
Delegasi kemudiannya sempat untuk melawat Kedai Buku UPSI yang terletak berhampiran pejabat PKM. Sesi ini berakhir dengan kunjungan ke Perpustakaan Tuanku Bainun.
“Rombongan Penerbit UM seramai 24 orang ini sepatutnya berkunjung ke UPSI pada 24 Ogos 2026 namun dipinda ke hari ini” kata Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, Timbalan Pendaftar Kanan PKM ketika ditemui di sesi akhir program.

