Oleh Arissa Hasya Auni
TANJUNG MALIM – 12 Ogos 2026. Pejabat Karang Mengarang (PKM) sebagai hos program Rabu@Qalbu Portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (P&I) menganjurkan Sesi Sembang Santai PKM: “Happy Vibe Bekerja” pada hari ini bertempat di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dengan penglibatan lebih 30 orang peserta.
Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, untuk sesi kali ini, PKM menjemput Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad dari Fakulti Pembangunan Manusia untuk berkongsi ilmu berkaitan topik keseronokan bekerja.



Dr Fauziah memulakan sesi dengan meminta para peserta untuk mengurus mental dan emosi melalui pendekatan NLP.
“Hari ini, saya ceria, saya positif, saya hebat… yes … yes.. yes” laung Khalid Chew Edey Ridzuan Chew dan diikuti oleh para peserta.
Para peserta juga diminta memberi gambaran emosi mereka ketika dalam dewan ketika sesi awal berlangsung. Antara emosi yang dikongsikan termasuklah “happy”, “teruja”, “seronok”, “redha” “gembira”, “letih”, “syukur” dan “bersemangat”.



Menurut Dr Fauziah, tema utama sesi sembang ini mengupas perkara berkaitan “kita tidak boleh mengawal semua perkara di tempat kerja, tetapi kita boleh membina cara hadir yang lebih tenang dan bermakna”.
“vibe kerja bermula daripada diri. Kenali tenaga, emosi dan bahasa dalaman kita”. tambah Dr Fauziah.
Dalam sembang santai ini, beliau turut berkongsi tentang fikiran membentuk suasana, hubungan kerja membina suasana, makna kerja dan qalbu dan pelan tindakan 7 hari.
“Happy vibe bukan suasana datang sendiri. Ia suasana yang kita bina bersama, satu respons demi satu respons” kata Dr Fauziah di akhir sesi.
Beliau merumuskan keperluan untuk peka kepada emosi sendiri sebelum mengurus orang lain, berhenti sekejap (pause) sebelum membalas situasi tegang, tukar tafsiran supaya lebih adil dan membantu, membina komunikasi yang jelas , hormat dan spesifik dan mulakan perubahan melalui satu tindakan kecil.
Sementara itu, Nurul Fadzillah Sapengin, Timbalan Pendaftar NCDRC berkata program ini baik dan sesuai dengan situasi sekarang yang perlu bekerja dalam keadaan gembira.
“Sembang santai ini bagus, sangat sesuai dengan situasi kerja sekarang dan dapat kurangkan stress” kata Setiausaha Pejabat, Pejabat TNC (PI), Nurul Aini Abdullah.
“Program ini bermakna, memberi refleksi dan dapat tingkatkan semangat untuk datang bekerja setiap hari” tambah Pembantu Tadbir (P/O), PKM, Muhammad Shahrul Mizan Mohamed Nizam.
Faridah Hanim Aziz @Adan yang baharu saja dinaikkan pangkat ke jawatan Perancang Bahasa S12 pula berkata program ini bagus untuk staf yang lama dalam memberi semangat kepada mereka untuk bekerja.
“sembang santai ini bagus untuk praktikkan dalam pekerjaan seharian termasuk mengurus emosi staf” kata Noor Faridah Mohd Saaidin, Pembantu Tadbir (P/O), Pejabat TNC (PI) ketika di sesi akhir temu bual.


Pelajar Latihan Industri PKM yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan, Siti Faridah Jahahulah berkata selain mendapat ilmu berkaitan di tempat kerja, beliau turut menimba pengalaman sebagai pengacara majlis. Ini merupakan kali kedua diberi amanah sedemikian selepas program Sesi Kunjungan PERKIM ke UPSI pada 17 Julai 2026 lalu.
Menurut Timbalan Pendaftar Kanan PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, slot Rabu@Qalbu Portfolio TNC (PI) anjuran PKM seterusnya akan berlangsung pada 9 Disember 2026 dengan pengisian menarik “Jualan Penghabisan Stok Buku” bakal berlangsung di Kedai Buku UPSI.

