Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hassan
TANJUNG MALIM — Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melancarkan “Projek Sahabat” yang berteraskan inisiatif #AyatOfTheDay (#AOTD) bagi menyantuni kebajikan emosi dan rohani para mahasiswa di kafetaria Kolej Harun Aminurrashid. Projek ini dijalankan bertujuan untuk memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada para pelajar yang kini sedang berhadapan dengan minggu perkuliahan yang sibuk atau hectic week.
Bagi melaksanakan projek ini, kumpulan pelajar dari KeSUA akan bertindak menghampiri rakan mahasiswa/i yang sedang berada di kafetariadengan meminta mereka untuk mengambil sekeping kad yang disediakan. Di bahagian belakang kad tersebut, terdapat soalan, fakta, atau petikan daripada ayat Al-Quran, hadis, dan pesanan positif yang bertujuan membantu mahasiswa melakukan refleksi diri serta dijadikan sebagai inspirasi harian mereka.
Projek ini merupakan inisiatif berkala yang dilakukan oleh kelab ini yang mana sebelum ini memfokuskan kepada Street Dakwah, namun kali ini “Projek Sahabat” dilaksanakan dalam skala kumpulan yang lebih kecil. Bagi aktiviti Street Dakwah, biasanya akan mengadakan
program sokongan seperti Weekly with KeSUA (WWK) secara atas talian untuk membincangkan topik-topik ilmiah seperti adab bersama ibu bapa.


Menurut Aisyah Amirah Al-akhtar binti Mohd Hasri, pelajar Semester 3 dari kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, pendekatan ini bertujuan untuk mengajak para pelajar supaya tidak terlalu fokus kepada tekanan akademik semata-mata, sebaliknya kembali mencari ketenangan melalui pesanan kerohanian. Beliau turut memaklumkan bahawa projek ini dijalankan berdasarkan tiga elemen utama yang diguna pakai oleh Kelab Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik, dan Ijtihadik.
Ku Muhammad Arif bin Ku Khairul Nizam, pelajar Semester 3 jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Kewangan Islam, turut menjelaskan bahawa projek ini berasakan elemen Quranik dan mereka cuba menyampaikan kefahaman Al-Quran dalam bentuk yang berbeza. Melalui usaha berterusan ini, KeSUA berharap agar semangat yang “dibakar” melalui #AOTD ini dapat membantu mahasiswa UPSI mengekalkan momentum positif sehingga tamat semester.
