Oleh: Dr. Roznim Mohamad Rasli
Tanjong Malim, 27 September 2025 – Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama bersama Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi telah menganjurkan Kursus Pedagogi Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit 2025 (Siri 2).
Kursus ini merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Siri 1 pada tahun 2024, selaras dengan ketetapan Mesyuarat Senat Kali Ke-23 Bil. 3/2024 bertarikh 12 Mac 2024 yang memutuskan bahawa semua tenaga pengajar kursus kokurikulum berkredit diwajibkan mengikuti kursus pedagogi secara sistematik.
Ini bertujuan memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran, di samping melayakkan tenaga pengajar menerima sijil pengiktirafan profesional.



Objektif utama kursus ini adalah untuk membekalkan pengetahuan teoritikal serta kemahiran teknikal berkaitan kaedah pedagogi yang inklusif, kontemporari dan berimpak tinggi dalam mengendalikan kursus kokurikulum berkredit, yang merupakan sebahagian daripada kursus universiti di bawah Mata Pelajaran Umum 4 (MPU4).
Dalam konteks pendidikan tinggi masa kini, kursus kokurikulum tidak lagi dilihat sebagai pelengkap semata-mata, sebaliknya menjadi wadah penting dalam membentuk kompetensi insaniah, kepimpinan, kerja berpasukan, nilai sivik serta kemenjadian mahasiswa/i.



Kursus yang berlangsung dari jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang di Bilik Latihan 1, Blok B, Kompleks Kokurikulum, Kampus Sultan Azlan Shah ini melibatkan seramai 86 orang tenaga pengajar daripada tiga (3) komponen meliputi pelbagai bidang kokurikulum.
Perkongsian bermakna daripada panel penceramah jemputan yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Razimi bin Husin, Dr. Nik Muhammad Hanis bin Nek Rakami dan Dr. Romarzila binti Omar berjaya menyuntik kreativiti, relevansi, inklusiviti dan inovasi dalam mentransformasi kokurikulum melalui trend pedagogi terkini.


Sepanjang pelaksanaan kursus, tenaga pengajar didedahkan kepada pelbagai pendekatan pedagogi berpusatkan pelajar (student-centered learning), pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), pembelajaran aktif, serta integrasi elemen gamifikasi dan teknologi pendidikan terkini khasnya kecerdasan buatan. Intipati kursus turut mencakupi modul penilaian kokurikulum serta pembelajaran mikro kokurikulum indoor dan outdoor.
Perbincangan turut menekankan perbezaan strategi pengajaran bagi persekitaran indoor dan outdoor, sejajar dengan sifat kursus kokurikulum yang dinamik dan kontekstual. Pendekatan latihan yang bersifat interaktif, termasuk simulasi pengajaran mikro, perbincangan kumpulan kecil dan aktiviti refleksi kendiri, telah membuka ruang kepada tenaga pengajar untuk menilai semula amalan pedagogi sedia ada serta meneroka inovasi baharu dalam pengendalian kursus kokurikulum berkredit.
Melalui aktiviti-aktiviti ini, tenaga pengajar yang hadir bukan sahaja diasah dari sudut kemahiran teknikal, malah diperkukuh dari aspek falsafah pedagogi yang menekankan keterangkuman, keselamatan, dan kebermaknaan pembelajaran.
Secara simboliknya, kursus ini mencerminkan iltizam Pusat Kokurikulum UPSI untuk memastikan setiap tenaga pengajar kursus kokurikulum berkredit bukan sekadar mahir mengendalikan aktiviti, bahkan juga memiliki kejelasan epistemologi dan etika profesional sebagai pendidik universiti.


Usaha ini diharapkan akan disulam ke dalam bentuk pengajaran yang lebih tersusun, reflektif dan memberi kesan mendalam kepada pembentukan sahsiah mahasiswa/i melalui penyepaduan kepakaran pedagogi dengan keperluan pengajaran berteraskan aktiviti kokurikulum.
Dengan terlaksananya kursus ini, Pusat Kokurikulum UPSI optimis bahawa standard pengajaran kursus kokurikulum berkredit akan terus diperkasa, seiring aspirasi universiti untuk melahirkan insan yang holistik, bukan sahaja cemerlang akademik, malah utuh nilai, cekal jiwa dan seimbang keupayaan dalam mendepani realiti masyarakat dan dunia pekerjaan yang kian kompleks.
