Sesi bersama guru Mathla'ul Anwar Global SchoolSesi bersama guru Mathla'ul Anwar Global School

Oleh : Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan, Dr. Ramadoni, Shiyamu Manurung, Muh. Chusnul Mubaroq, Hafiz Syazni Hamdan,  dan Nur Aisyah Aswani Mohd Asri

BANTEN – Dalam mendepani era ledakan digital dan keperluan pedagogi abad ke-21, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan posisinya sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau. Menerusi inisiatif yang strategik, satu ekspedisi penyelidikan berimpak tinggi telah berjaya dilaksanakan dengan mensinergikan dua pakar dalam bidang pendidikan matematik iaitu Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan yang merupakan seorang pensyarah dari UPSI dan Dr. Romadoni, penyelidik dari Badan Riset dan Inovasi Nasioanal (BRIN), Indonesia. Kehadiran mereka di Mathla’ul Anwar Golden School pada tanggal 2 Februari 2026 memfokuskan projek inovatif ALGEUNO! yang mengintegrasikan pembelajaran berasaskan permainan dalam topik persamaan linear yang fokusnya dalam algebra. Hal ini menjadi satu mercu tanda yang signifikan dalam usaha mentransformasikan landskap pendidikan matematik agar lebih holistik di nusantara.

Nadi utama kepada projek penyelidikan ini adalah pembangunan yang dinamakan ALGEUNO!. Inovasi ini merupakan tuntas kepada cabaran konvensional dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik. Algebra menjadi domain dalam pembangunan ini kerana sering dianggap sukar dan abstrak oleh murid. Satu kerangka pedagogi moden yang direka untuk meningkatkan motivasi secara intrinsik serta penglibatan kognitif murid agar sesi PdP menjadi lebih efektif. Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk mendefinisikan semula cara matematik diajar dan dipelajari, beralih daripada kaedah hafalan semata-mata kepada pemahaman konseptual yang mendalam.

Fasa paling kritikal dalam penyelidikan ini melibatkan aktiviti pengumpulan data primer di Mathla’ul Anwar Global School (MAGS). Pemilihan institusi pendidikan unggul di bawah pimpinan guru besarnya iaitu Pak Muh. Chusnul Mubaroq adalah strategik memandangkan MAGS menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif untuk menguji keberkesanan permainan ALGEUNO! dalam konteks bilik darjah sebenar. Aktiviti lapangan di atas inisiatif Pak Dr.Shiyamu Manurung ini bukan sekadar pemerhatian pasif ianya juga melibatkan penggunaan instrumen kajian termasuklah soal selidik, temu bual dengan para guru dan murid, serta analisis data prestasi akademik murid. Setiap maklumat yang dikumpulkan berfungsi sebagai data empirikal yang akan mengesahkan keberkesanan inovasi ALGEUNO! ini. Proses ini berfungsi dalam memastikan bahawa produk akhir yang dibangunkan bukan sahaja inovatif dari segi reka bentuk, malah terbukti berkesan dari segi pedagogi.

Sesi bersama Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan dan Dr Romadoni
Pembelajaran berasaskan permainan yang dinamakan ALGEUNO!.
Pengumpulan data bersama murid  Mathla’ul Anwar Global School

Projek ini merupakan kolaborasi utuh antara UPSI Malaysia dan BRIN Indonesia. Kerjasama ini melambangkan jalinan diplomatik akademik yang ampuh antara dua negara serumpun dalam mendepani isu pendidikan global. Melalui sinergi ini, kepakaran daripada kedua-dua negara digembleng secara optimum, membolehkan pertukaran idea, metodologi penyelidikan, dan sumber ilmu berlaku secara efisien. Hasil daripada pengumpulan data dan analisis yang teliti ini dijangka akan menghasilkan penerbitan artikel bersama dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada ilmu pengetahuan global dalam bidang pendidikan matematik.

Secara tuntas, kejayaan ekspedisi pengumpulan data dan penganjuran Motivational Talk di MAGS ini merupakan satu anjakan paradigma bagi UPSI dan BRIN. Ia membuktikan komitmen jitu antara institusi ini dalam menerajui inovasi pendidikan yang lebih relevan dan berdaya saing. Usaha ini adalah jambatan yang akan memacu kecemerlangan Pendidikan Matematik kita dari akar umbi nusantara terus ke persada global.