Professor Madya Dr. Mazlini bersama narasumber pada Global Education Transformation 2026Professor Madya Dr. Mazlini bersama narasumber pada Global Education Transformation 2026

Oleh : Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan, Dr. Ramadoni, Dr. Asep Sahrudin dan Nur Aisyah Aswani Mohd Asri

BANTEN – Di tengah-tengah kerancakan revolusi industri yang kian menderu, satu mercutanda sejarah pendidikan telah terpahat di Universitas Mathla’ul Anwar (UNMA), Banten menerusi penganjuran Seminar Internasional bertemakan Global Education Transformation 2026 pada 3 Februari 2026. Kehadiran Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sekadar satu simbolik kehadiran, malah merupakan satu penegasan mengenai kesiapsiagaan Malaysia dalam mendepani arus pendidikan di pentas global. Wacana ilmu yang penuh prestij ini menjadi medan pertembungan idea-idea antara tokoh-tokoh akademik yang merentas benua. Profesor Rautakivi Tuomo Taapani dari University Centria, Finland, telah memukau hadirin dengan pembongkaran naratif sistem pendidikan Finland yang sering diangkat sebagai penanda aras global. Beliau memperincikan bagaimana Finland berjaya memanifestasikan digital leap bukan sekadar menerusi kemudahan infrastruktur, malah menerusi transformasi holistik kompetensi guru yang bersifat kolaboratif.

Menyahut cabaran tersebut, Profesor Madya Dr. Mazlini binti Adnan tampil dengan pembentangan bertajuk “Developments in the Implementation of Technology-Based Education in Malaysia“. Beliau menyuntik perspektif Malaysia yang dinamik, di mana integrasi teknologi digital kini menjadi nadi kepada keberkesanan pedagogi moden. Dalam ulasannya, Profesor Madya Dr. Mazlini menekankan bahawa pemerkasaan STEM dan penggunaan teknologi seperti Augmented reality (AR) bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan mandatori untuk melahirkan graduan yang kompetitif dalam ekosistem ekonomi digital. Pelengkap kepada trilogi kepakaran ini adalah Dr. Ramadoni yang merupakan penyelidik dari Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia yang mengupas dinamik implementasi teknologi di Indonesia dan Taiwan. Beliau menggariskan betapa komersialnya kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta dalam merapatkan jurang literasi digital, terutamanya di kawasan pedalaman yang sering terpinggir daripada arus perdana pemodenan.

Satu intipati fundamental yang mendominasi perbincangan ini ialah kepentingan penggunaan teknologi yang relevan dalam sistem pendidikan. Para panel bersetuju bahawa teknologi tidak seharusnya berfungsi sebagai instrumen penggantian semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin kepada pengalaman pembelajaran. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan platform pembelajaran adaptif dilihat sebagai solusi ampuh dalam memanusiakan teknologi, di mana setiap pelajar diberikan ruang untuk berkembang mengikut rentak kognitif masing-masing. Bagi warga UPSI, penglibatan di peringkat antarabangsa ini adalah satu pengiktirafan terhadap kualiti kepakaran tempatan. Ia membuktikan bahawa Ibu Kandung Suluh Budiman terus konsisten dalam melahirkan sarjana yang mampu berwacana dengan jaguh di seantero dunia.

Seminar Internasional  bertemakan Global Education Transformation 2026 pada 3 Februari 2026
Profesor Madya Dr. Mazlini Adnan tampil mengupas isu pendidikan dari perspektif negara Malaysia

Seminar Internasional ini telah berjaya meletakkan asas yang kukuh bagi kolaborasi akademik yang lebih bermakna di masa hadapan. Pengalaman dan input yang dibawa pulang dan dijangka akan memberikanripple effect terhadap pembangunan kurikulum dan strategi pengajaran di UPSI, selaras dengan aspirasi Global Education Transformation 2026. Sebagai tuntasnya, kejayaan penyertaan dalam seminar internasional ini adalah satu isyarat jelas kepada dunia bahawa UPSI sentiasa responsif terhadap zaman yang penuh teknologi. Usaha murni ini merupakan satu pelaburan jangka panjang yang akan memastikan legasi kecemerlangan pendidikan negara terus relevan, mampan, dan dihormati di mata dunia.