Oleh Bonaventure Kinlius
TANJONG MALIM, 22 Januari 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan kunjungan hormat ke Seksyen Kebajikan, Perkhidmatan dan Perumahan Pelajar (SKPP) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa kebajikan mahasiswa universiti tersebut.
Kunjungan ini menjadi platform rasmi bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kebajikan dan perumahan mahasiswa termasuk penempatan kolej kediaman, kemudahan asas serta perkhidmatan bas kitaran di kampus.
Sesi tersebut dimulakan dengan pengenalan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2025/2026 kepada pihak pengurusan SKPP sebelum diteruskan dengan perbincangan dua hala mengenai cabaran dan keperluan mahasiswa berkaitan aspek kebajikan dan penginapan.
Ketua Seksyen Perkhidmatan dan Perumahan Pelajar, Encik Abdul Ghani bin Mansor menegaskan bahawa kebajikan mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama antara pihak pentadbiran universiti dan kepimpinan pelajar.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada mahasiswa dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.



Selain itu, beberapa cadangan turut dibincangkan termasuk penambahbaikan sistem pengurusan aduan pelajar serta pemantauan lebih sistematik terhadap perkhidmatan bas kitaran bagi memastikan kelancaran pergerakan mahasiswa ke fakulti dan kolej kediaman.
Kunjungan hormat ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara MPP UPSI dan SKPP sekali gus memastikan kesejahteraan serta kebajikan mahasiswa sentiasa diberi perhatian.

