Oleh : Muhammad Airul Idham Baharin

Tanjong Malim, 9 April 2026- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat serta sesi libat urus daripada delegasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak yang diketuai oleh Pengurus Operasi Negeri Seksyen Khidmat Pelanggan, Intan Azlina Sulaiman.

Sesi yang telah dirancang lebih awal ini merupakan hasil perbincangan rapat antara pihak LHDN Perak bersama Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Muhammad Airul Idham Baharin. Satu perbincangan khas berkaitan sinergi khas UPSI-LHDN telah dipengerusikan oleh Timbalan Pendaftar BHEP, Abdul Ghani Mansor. 

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Dr. Khalizul Khalid, selain wakil daripada Jabatan Bendahari, Bahagian Sumber Manusia serta wakil persatuan pelajar FPE.

Hasil sinergi ini dijangka melahirkan beberapa inisiatif strategik termasuk pelaksanaan siri program pendidikan percukaian kepada pelajar, advokasi percukaian bersama Jabatan Bendahari UPSI, pelantikan pakar rujuk dalam bidang percukaian, pelaksanaan latihan berkredit kepada kakitangan UPSI serta program penjanaan melalui kursus percukaian kepada orang awam.

Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman serta kesedaran berkaitan percukaian dalam kalangan warga universiti, di samping mengeratkan kerjasama berterusan antara UPSI dan LHDN Perak.