Oleh : Muhammad Airul Idham Baharin
TANJUNG MALIM, 16 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara.
Inisiatif ini dilaksanakan hasil keprihatinan terhadap ketidaktentuan ekonomi global, khususnya peningkatan kos rantaian bekalan makanan akibat konflik yang berlaku di Asia Barat.
Pemantauan telah dijalankan di sekitar Kafeteria Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dan Kolej Ungku Omar (KUO), dengan sesi utama berlangsung di Bilik Mesyuarat Kolej KHAR.
Sebagai respon pantas, UPSI telah memperkenalkan beberapa langkah strategik. Antaranya termasuk pemantauan harga makanan secara berkala di kafeteria utama Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).



Usaha ini digerakkan secara bersama oleh Unit Perkhidmatan BHEP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Skuad Mahasiswa Prihatin.
Selain itu, sesi libat urus turut diadakan bersama pengusaha kafeteria bagi menyampaikan hasrat KPT, termasuk penekanan terhadap isu kenaikan harga dan keperluan menyediakan Menu Kasih Siswa atau Menu Rahmah pada kadar RM5.00 dan ke bawah.
Bagi memperkukuh mekanisme kawalan, satu pasukan khas telah ditubuhkan melalui Jawatankuasa Pemantauan Harga Makanan Kafeteria UPSI.
Jawatankuasa ini melibatkan Majlis Pengetua Kolej serta badan pelajar dalam memastikan pemantauan dijalankan secara konsisten di semua kafeteria utama.
Dalam masa yang sama, saluran aduan turut diwujudkan dan dipaparkan di setiap kafeteria bagi membolehkan pelajar menyalurkan maklum balas berkaitan harga dan kualiti perkhidmatan.



Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memastikan persekitaran kampus kekal kondusif, sekali gus menjamin kebajikan dan keperluan nutrisi mahasiswa sentiasa terpelihara.
