OLEH: SITI AISYAH

TANJONG MALIM – Program Go Clean Za’ba telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Za’ba dengan penglibatan aktif para pelajar penghuni kolej serta Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) dalam usaha menyemarakkan amalan kebersihan dan mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih teratur.

Program ini memberi tumpuan kepada aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan pembersihan kawasan rumah kediaman pelajar, susun atur ruang serta penambahbaikan keceriaan persekitaran kolej.

Para pelajar dilihat bekerjasama secara berpasukan dalam memastikan setiap kawasan berada dalam keadaan bersih, kemas dan selesa untuk didiami.

Selain itu, aktiviti penilaian turut dijalankan bagi menilai tahap kebersihan dan kekemasan setiap rumah, sekali gus menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan penghuni kolej.

Sebagai galakan tambahan, cenderahati turut diberikan kepada rumah terbaik sebagai usaha meningkatkan amalan kebersihan dan motivasi penghuni untuk terus mengekalkan persekitaran yang bersih dan teratur. I

nisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan, malah memupuk nilai tanggungjawab dan disiplin dalam diri pelajar.

Penglibatan aktif MMKZ dalam pengurusan dan pelaksanaan program turut menyumbang kepada kelancaran aktiviti serta memperkukuh peranan kepimpinan mahasiswa dalam menggerakkan program berimpak tinggi di peringkat kolej.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberikan impak positif dengan meningkatkan kesedaran terhadap amalan kebersihan, memperindah persekitaran kolej serta mengeratkan hubungan antara penghuni melalui semangat kerjasama dan kebersamaan.