oleh Dr Mohd Danial Afiq Khamar Tazilah dan Dr Nor Hanani Ahamad Rapani
Kuala Lumpur- Pada 29 April 2026, seramai 39 orang pelajar daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai satu lawatan akademik ke Bank Negara Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad di Kuala Lumpur.
Program ini telah diiringi oleh dua pensyarah dan penasihat UPSI Accounting Society (UPSIAS) iaitu Dr Mohd Danial Afiq Bin Khamar Tazilah dan Dr Nor Hanani Binti Ahamad Rapani sebagai usaha memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dalam bidang perakaunan, kewangan dan pengurusan.
Program yang diketuai oleh Cik Nurul Shuhada binti Abdullah selaku Pengarah program ini dirangka khusus bagi memberikan pendedahan dunia sebenar kepada pelajar, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri semasa.
Lawatan ke Bank Negara Malaysia telah memberi peluang kepada pelajar memahami fungsi bank pusat dalam mengawal kestabilan ekonomi negara, termasuk pelaksanaan dasar monetari, pengawalseliaan institusi kewangan serta pengurusan sistem pembayaran. Pelajar juga didedahkan kepada aspek literasi kewangan dan sejarah perkembangan sistem kewangan Malaysia.
Sementara itu, di Bank Islam Malaysia Berhad, pelajar berpeluang melihat secara langsung bagaimana teori yang dipelajari di bilik kuliah diterjemahkan dalam operasi sebenar perbankan Islam.
Pelajar turut diterangkan mengenai sistem operasi Bank Islam yang merangkumi aspek pelaporan kewangann, pembiayaan, pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan produk kewangan perbankan.
Pendedahan ini secara langsung membantu pelajar memahami hubungan antara konsep teori seperti financial management, risk management dan corporate governance dengan amalan sebenar dalam industri.
Pelajar diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung melalui perkongsian yang menarik oleh Group Chief Financial Officer (CFO) Bank Islam iaitu Pn Siti Nur Huda Binti Sufian yang memberikan pendedahan dan gambaran sebenar mengenai perjalanan karier beliau dalam bidang perakaunan dan kewangan.
Sesi dialog dua hala dan soal jawab telah membuka ruang kepada pelajar untuk bertanya soalan, berkongsi pandangan serta mendapatkan maklumat kerjaya secara lebih mendalam.
Pendekatan pembelajaran secara langsung ini terbukti lebih berkesan dalam membentuk pelajar yang berani, kritis dan berdaya saing. Program ini turut menyediakan platform penting untuk pelajar membina jaringan profesional (networking) dengan pihak industri.
Lebih menarik lagi, hubungan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan perlantikan Ahmad Fahmi Bin Ahmad Faizul (pelajar perakaunan AE02) sebagai Bank Islam Youth Ambassador di UPSI dan juga selaku Timbalan Pengarah program. Hubungan yang terjalin dengan Bank Islam Malaysia Berhad membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat mengenai latihan industri, peluang kerjaya serta potensi kolaborasi pada masa hadapan.
Dalam konteks dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, jaringan profesional ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memudahkan peralihan daripada alam akademik ke alam pekerjaan.



Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan bukan sahaja dapat memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aplikasi praktikal teori pengurusan dan kewangan, malah turut meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi mereka.
Lebih penting lagi, program ini telah membuka ruang kepada pembinaan jaringan profesional yang berpotensi memberi manfaat besar kepada pembangunan kerjaya pelajar pada masa hadapan. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada strategi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang holistik, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri.
