Naib Canselor bersama dengan Protege beliau iaitu Dr. Sathish Rao (FPM) dan En. Faiz Farhan (FSM) selepas sesi lapor diri Program Protege Kepimpinan TertinggiNaib Canselor bersama dengan Protege beliau iaitu Dr. Sathish Rao (FPM) dan En. Faiz Farhan (FSM) selepas sesi lapor diri Program Protege Kepimpinan Tertinggi

Oleh: Anis Azlira Ali dan Muhammad Faheem Mohd Dahlan

TANJONG MALIM, 8 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan akademik melalui pelaksanaan Program Protégé Kepimpinan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), iaitu satu inisiatif strategik berimpak tinggi yang dilaksanakan sepanjang tempoh Februari hingga Disember 2026.

Program ini dirangka secara komprehensif selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024–2030 serta menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, yang menekankan keperluan melahirkan pemimpin akademik berdaya saing global, berteraskan nilai serta berkeupayaan memacu transformasi pendidikan tinggi secara mampan.

Sebagai institusi peneraju dalam bidang pendidikan, UPSI mengadaptasi pendekatan proaktif dan sistematik dalam membangunkan bakat kepimpinan dalaman. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan menyeluruh terhadap aspek tadbir urus universiti, malah memperkukuh keupayaan strategik dalam kalangan pensyarah berpotensi tinggi sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.

Pelaksanaan program ini turut mengintegrasikan pendekatan JIWA UPSI secara holistik, merangkumi Jiwa Ketakwaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Kecemerlangan dan Jiwa Pendidik sebagai teras pembentukan kepimpinan bersepadu.

Program yang bermula pada 23 Februari 2026 ini melibatkan enam (6) orang pensyarah sebagai kohort perintis. Penyertaan dua (2) bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dalam kohort ini mencerminkan kesinambungan pembangunan kepimpinan secara berstruktur, selari dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat.

Lebih signifikan, program ini dimulakan dengan penglibatan langsung Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff sebagai mentor utama, sebelum diperluaskan kepada penglibatan Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta ahli JKPU lain dalam fasa seterusnya.

Menurut beliau, pendekatan protégé yang menghubungkan secara langsung barisan kepimpinan tertinggi universiti dengan pensyarah terpilih berupaya mempercepat pemindahan ilmu, pengalaman serta nilai kepimpinan yang autentik dan berimpak tinggi.

“Program ini bukan sekadar platform perkongsian pengalaman, malah merupakan ekosistem pembangunan kepimpinan yang menyeluruh, merangkumi keupayaan membuat keputusan strategik, pemantapan integriti serta pengukuhan budaya kecemerlangan organisasi,” jelas beliau.

Program ini dilaksanakan secara berfasa dan berstruktur, meliputi sesi pementoran, perbincangan berasaskan kes sebenar (case-based learning), refleksi kepimpinan serta pelaksanaan tugasan berimpak tinggi yang berkait langsung dengan isu strategik universiti. Pendekatan ini sejajar dengan penekanan terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman serta keupayaan menangani cabaran kompleks dalam konteks sebenar.

Pelaksanaan program ini diselaras oleh Unit Pengurusan Bakat, Bahagian Sumber Manusia UPSI dengan sokongan dasar daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), bagi memastikan keselarasan dengan keperluan pembangunan bakat sektor awam di peringkat nasional.

Protege menyertai mesyuarat tapak URCC antara UPSI dan kontraktor bersama Naib Canselor bagi mendengar perkembangan pembinaan dan mempelajari teknik perundingan

Seorang peserta kohort perintis, Dr. Sathish Rao dari Fakulti Pembangunan Manusia, menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai pengalaman yang memperluas perspektif terhadap kepimpinan.

“Program ini memberi kefahaman bahawa kepimpinan bukan sekadar kedudukan, tetapi berakar daripada nilai, integriti dan komitmen untuk menyumbang. Pendedahan langsung bersama kepimpinan universiti turut membantu memahami realiti proses membuat keputusan serta kepentingan daya tahan dalam memimpin,” ujarnya.

Penyertaan dalam program ini turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada latihan rasmi universiti dan menyumbang kepada penilaian prestasi tahunan melalui sistem MyPerformance/LNPT, sekali gus memperkukuh budaya pembelajaran berterusan dalam organisasi.

Dalam jangka masa panjang, program ini berpotensi menjadi model rujukan pembangunan kepimpinan akademik yang boleh diperluaskan ke peringkat lebih luas, termasuk melalui kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara, sejajar dengan hasrat memperkukuh jaringan global dan keterlihatan institusi.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam melahirkan barisan pemimpin akademik yang kompeten, progresif dan berdaya saing, berteraskan nilai JIWA serta memenuhi aspirasi BITARA, seterusnya memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju pendidikan unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.