Oleh: Mohamad Faiz Iqmal bin Mohtar

TANJONG MALIM – Seni warisan pembuatan kuih tradisional terus dipelihara dan diangkat martabatnya menerusi penganjuran KAHS International Unity Festival oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program Kuih Time! Onde-Onde & Ketayap Edition ini menjadi wadah penting dalam memperkenalkan keindahan seni kulinari tradisional kepada generasi muda, khususnya mahasiswa dan mahasiswi.

Festival ini bukan sekadar mengetengahkan makanan tradisional sebagai hidangan semata-mata, malah memberi penekanan kepada nilai seni, teknik, serta falsafah di sebalik penghasilan kuih-kuih warisan seperti onde-onde dan ketayap.

Peserta sedang membuat kuih Onde-onde
Peserta sedang membuat kuih Onde-onde

Setiap proses pembuatan memperlihatkan kehalusan seni tangan, ketelitian dalam sukatan bahan, serta kesabaran yang tinggi ciri-ciri yang mencerminkan identiti budaya masyarakat Melayu sejak turun-temurun.

Menurut pihak penganjur, pendedahan terhadap seni pembuatan kuih tradisional ini mampu menyemai rasa cinta terhadap warisan bangsa dalam kalangan mahasiswa. Hal ini kerana setiap kuih yang dihasilkan bukan sahaja membawa rasa yang unik, tetapi turut sarat dengan nilai sejarah, adat dan simbolik kehidupan masyarakat terdahulu.

Selain itu, festival ini turut menjadi platform interaksi antara mahasiswa pelbagai latar belakang, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan melalui perkongsian budaya.

Aktiviti secara langsung seperti demonstrasi pembuatan kuih dan pertandingan turut memberi peluang kepada peserta untuk menghargai keindahan seni tradisional secara lebih mendalam.

Peserta sedang mendengar komen dari Juri
Peserta sedang mendengar komen dari Juri

Jelasnya, seni warisan kuih tradisional bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan khazanah berharga yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi masa kini.

Penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai pewaris ilmu akademik, malah sebagai penjaga dan penerus warisan budaya negara. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar seni pembuatan kuih tradisional terus kekal relevan, dihargai dan menjadi simbol jati diri dalam kalangan generasi muda.