Oleh: Nik Nureen Aeisya, Qualid Manshah & Safika Amat
Universiti Sains Islam Malaysia, 8 Mei 2026 – Rindang Sayang kembali lagi buat edisi kedua, menghimpunkan tiga institusi berbeza dalam platform penanda aras antara mahasiswa. Anjuran Majlis Tertinggi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris, Rindang Sayang 2.0: Nurani Budi, Lembayung Warisan berjaya menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman dalam aspek pengurusan organisasi, pelaksanaan program serta pertukaran idea antara badan pelajar yang terlibat.
Program ini turut melibatkan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta mahasiswi Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Meissye Herliane menjadikan perkongsian penanda aras ini bersifat antarabangsa dan lebih meluas dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau, di samping membuka ruang kepada pertukaran idea terbaik dalam kalangan mahasiswa dari pelbagai latar institusi pendidikan.



Program ini turut membawa dua buah sub-program di bawahnya iaitu KUO Kasih: Dari Kita Untuk Komuniti dan Regalia Sukma: Jelajah Jati Kencana yang dijalankan di Kampung Lonek, Negeri Sembilan pada 9 Mei 2026.
Melalui penglibatan ini, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan penanda aras semata-mata tetapi juga turut berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat yang menjadikan program ini lebih istimewa, menyeluruh dan berimpak positif dalam membina nilai kepimpinan, kesukarelawanan serta hubungan erat antara mahasiswa dan masyarakat.
Program ini turut diisi dengan slot lonjakan gagasan yang melibatkan keterlibatan penuh dari mahasiswa/i UPSI, USIM dan UPI. Melalui slot ini, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membincangkan isu serta cabaran berkaitan kepimpinan dan pengurusan mahasiswa, sebelum bersama-sama mencetuskan idea penyelesaian secara kreatif dan inovatif.



Dalam ucapan penuh alu-aluan, Syrelyn Anak Misol selaku Pengarah Program merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta peluang yang diberikan untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan strategi pengurusan mahasiswa. “Usaha sebegini mampu melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang berwibawa serta lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang”. Beliau turut menekankan kepentingan penanda aras seperti ini merupakan satu platform strategik yang bernilai tinggi dalam memperkukuh kerjasama institusi.
Encik Muhamad Hafiz Abd Manap, Penolong Pegawai Tadbir Kolej Ungku Omar UPSI yang turut berucap dalam majlis penutup, menyifatkan program seperti ini sebagai medium terbaik dalam memperkasakan pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa melalui penglibatan secara aktif bersama masyarakat serta institusi luar. Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan mahasiswa yang lebih proaktif, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
Turut berucap sama adalah Prof. Madya Dr. Syaza Azhari, Pengerusi Majlis Pengetua merangkap Pengetua Kolej Kediaman Nilam Court, USIM yang turut memuji program seperti ini kerana ianya memainkan peranan penting dalam membuka ruang kepada mahasiswa untuk memperluaskan jaringan kerjasama serta bertukar pandangan dengan pelbagai institusi. “Mahasiswa tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengurusan dalaman organisasi semata-mata, sebaliknya perlu berani membina jaringan dan kolaborasi bersama mahasiswa daripada pelbagai institusi”, ujar beliau dalam ucapan majlis penutup.


Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif sebagai platform penanda aras antara mahasiswa, malah turut menjadi medium yang menyatukan elemen kepimpinan, kesukarelawanan dan jalinan komuniti dalam satu pengisian yang bermakna. Jalinan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi serta melahirkan mahasiswa yang lebih berdaya saing, prihatin dan berjiwa masyarakat.

