Oleh: Ajeeb Ishak

Tanjong Malim, 23 Mei  – Dalam usaha memperkasa budaya intelektual dalam kalangan mahasiswa, program Open Mic Mahasiswa: Menjana Ilmu, Mencetus Inspirasi telah dianjurkan oleh EXCO Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh Sidang 2025/2026 pada 23 Mei 2026 di Dewan Kolej Ungku Omar.

Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Kelab Debat Bahasa Arab UPSI, Kelab Debat Bahasa Melayu UPSI dan Persatuan Persuratan Melayu UPSI, yang memperkukuh aspek komunikasi, pemikiran kritis serta penguasaan bahasa dalam kalangan mahasiswa. Seramai lapan orang peserta telah menyertai program ini melalui penyampaian idea secara kreatif seperti pidato, sajak dan syair.

Berteraskan tema “Idea dan Pemikiran Terhadap Isu Semasa Mahasiswa”, program ini memberi penekanan kepada pembinaan mahasiswa yang berfikiran kritis, berdaya saing dan mampu menyampaikan idea secara berstruktur serta berimpak. Dalam masa yang sama, ia turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk menzahirkan idea, pandangan dan pengalaman secara terbuka melalui platform open mic yang bersifat ilmiah dan terancang.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menyemai budaya perkongsian ilmu serta pemikiran reflektif dalam kalangan mahasiswa, di samping mengasah keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kebolehan berpidato serta berpuisi sebagai persediaan menghadapi cabaran akademik dan kerjaya. Pendekatan ini secara tidak langsung mencetus inspirasi serta kesedaran dalam kalangan peserta dan penonton melalui perkongsian yang memberi nilai tambah dari aspek ilmu, pengalaman dan pembangunan sahsiah diri.

Penilaian peserta telah diketuai oleh Dr. Ghazali bin Din, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, yang menilai aspek kejelasan idea, kekuatan hujah serta keberkesanan penyampaian. Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 300 orang peserta dan penonton, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap wacana ilmu dalam kalangan warga kampus.

Dari sudut impak kepada mahasiswa, program ini telah membantu peserta meningkatkan keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif melalui perkongsian idea dan pengalaman. Pada masa yang sama, ia turut mengasah kemahiran komunikasi berkesan, memperkukuh jati diri serta keyakinan dalam menyuarakan pandangan secara ilmiah. Lebih penting, program ini menyemai budaya perkongsian ilmu dan inspirasi yang memberi kesan positif terhadap pembangunan sahsiah dan intelektual mahasiswa.

Secara keseluruhannya, Open Mic Mahasiswa bukan sekadar platform ekspresi, tetapi merupakan wadah pembinaan jati diri mahasiswa yang menghubungkan ilmu, komunikasi dan nilai. Program ini diharapkan dapat terus melahirkan mahasiswa yang berfikiran matang, berkeyakinan tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui wacana ilmu yang bermakna.