Oleh: MUHAMMAD ADLIE HAFIZIE BIN MUHD NAZIR

TANJONG MALIM, 6 Jun 2026 – Persatuan Komunikasi (PERKOM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Volleyball Fusion: Sarong Edition yang berlangsung di gelanggang bola tampar Kolej Za’ba, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Program ini diadakan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan mahasiswa di samping mengangkat elemen kebudayaan melalui aktiviti kesukanan.

Keunikan program ini terletak pada konsep pemakaian kain sarung yang digabungkan dengan pertandingan bola tampar, sekali gus memberi kelainan kepada aktiviti sukan konvensional. Inisiatif tersebut merupakan cetusan idea pengarah program, Nur Adlin yang juga merupakan Exco Kebudayaan dan Sukan PERKOM, bagi memupuk penghargaan terhadap warisan budaya tempatan sambil menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan enam kumpulan yang bersaing dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kerjasama. Selain pertandingan bola tampar, program ini turut menjadi ruang untuk peserta berinteraksi dan mengukuhkan hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang dan tahun pengajian.

Penganjuran Volleyball Fusion: Sarong Edition bukan sahaja berjaya mencungkil bakat dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta, malah membuktikan bahawa elemen kebudayaan dan kesukanan mampu digabungkan dalam satu program yang menarik serta bermakna. Melalui pendekatan ini, PERKOM berharap dapat memupuk rasa cinta terhadap budaya tempatan di samping membina mahasiswa yang aktif, kreatif dan mempunyai semangat perpaduan yang tinggi.

Menurut Pengarah Program, Nur Adlin, penganjuran Volleyball Fusion: Sarong Edition merupakan satu inisiatif untuk menggabungkan elemen kebudayaan dan kesukanan dalam satu platform yang santai dan menarik. Beliau berkata, “Saya menganjurkan program ini dengan tujuan menggabungkan elemen budaya dan sukan agar nilai-nilai kebudayaan dapat diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan mahasiswa.”  Tambahnya lagi, konsep pemakaian kain sarung dipilih bagi memperkenalkan dan memupuk penghargaan terhadap warisan budaya tempatan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti yang dekat dengan golongan belia.

Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan PERKOM dan menjadi salah satu medium untuk memperkukuh hubungan antara mahasiswa serta menyemarakkan budaya kampus yang aktif, inklusif dan menghargai warisan budaya Malaysia.