Oleh: Umie Ayunie Syafiah Mahadzir

TANJUNG MALIM, PERAK – Majlis Anugerah Dekan Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Sidang 2025/2026 merupakan majlis julung-julung kali dianjurkan khusus untuk mahasiswa dan mahasiswi AT05, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mencapai kecemerlangan akademik, selain menjadi pembakar semangat untuk mereka terus melakar kejayaan. Majlis ini turut meraikan mereka yang berjaya memperoleh serta mengekalkan pencapaian Anugerah Dekan sebagai bukti dedikasi dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.

Majlis tersebut telah berlangsung pada 13 Oktober 2026, pukul 8.00 malam di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.

Bertemakan etika pemakaian Melayu klasik, majlis ini menyerlahkan keunikan dan keindahan warisan budaya Melayu. Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta pada pukul 7.30 malam, diikuti ketibaan dan perarakan masuk tetamu jemputan, nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Kandung Suluh Budiman, serta sesi fotografi.

Seterusnya, para hadirin disajikan dengan persembahan pembukaan yang menggabungkan tarian zapin dan nyanyian sebelum diteruskan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan doa, ucapan pengarah program oleh Nursyahirah binti Ahmad Kamal serta ucapan perasmian oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Norliza binti Jamaluddin, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

Persembahan Pembukaan

Kemuncak majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Dekan kepada tiga kohort, iaitu Kohort Awang Sariyan (WANGSA) pada pukul 8.30 malam, Kohort Tun Syed Nasir Ismail (TUNAS) pada pukul 9.00 malam dan Kohort Abdullah Hassan (ABHASS) pada pukul 9.30 malam.

Penyampaian anugerah ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap pencapaian akademik, malah mencerminkan usaha dan pengorbanan mahasiswa serta mahasiswi dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen lain sepanjang pengajian.

Kejayaan yang diraikan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan untuk terus meningkatkan prestasi dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap semester.

Selain meraikan kecemerlangan akademik, majlis ini turut menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan mahasiswi, barisan pensyarah serta warga Fakulti Bahasa dan Komunikasi.

Penganjuran majlis seumpama ini juga diharapkan dapat menyemai budaya saling menghargai, meningkatkan motivasi diri dan membentuk bakal pendidik yang berilmu, berdisiplin serta berdaya saing. Hal ini selaras dengan aspirasi untuk melahirkan graduan pendidikan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah dan nilai profesionalisme yang tinggi.

Kesimpulannya, Majlis Anugerah Dekan Persatuan Bahasa Melayu Sidang 2025/2026 diharapkan dapat menjadi permulaan kepada tradisi penghargaan terhadap kecemerlangan akademik dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi AT05, UPSI.

Semoga majlis ini menjadi kenangan bermakna buat para penerima anugerah serta pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan, sekali gus membuktikan bahawa usaha, disiplin dan kesungguhan merupakan asas penting dalam mencapai kecemerlangan.

By shira