Oleh: Harshini Shurhes, Nik Muhammad Amar Fitri bin Nik Mohd Rosdi, Dr. Mohammad Azri bin Amatan, Gs. Dr. Nor Shahida binti Azali & Dr. Mohd Ihsan Muhammad Ismail

TANJUNG MALIM, 18-19 MEI 2026 – Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris (PERGEO UPSI) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila berjaya menganjurkan program Green Legacy dan Into The Depth dengan kerjasama Universitas Negeri Semarang (UNNES). Program ini dilaksanakan untuk memperkukuh hubungan akademik antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran kedua-dua program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG4: Pendidikan Berkualiti dan SDG13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim. Program pada hari pertama iaitu Green Legacy telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Muallim dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi di tapak berhampiran Pusat Kesihatan UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah. Peserta bagi kedua-dua program terdiri daripada pelajar UNNES dan ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada wakil PERGEO UPSI.

Program ini bermula dengan ketibaan peserta ke tapak penanaman pokok sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah Program serta ucapan perasmian  oleh Gs. Dr. Nor Shahida Azali dan Dr. Mohammad Azri Amatan selaku penasihat program bersama Wakil Pelajar UNNES yang menekankan kepentingan program bagi kedua-dua pihak universiti.

Selepas sesi perasmian, peserta terlibat dengan sesi senamrobik dan sesi taklimat berkaitan aktiviti utama program iaitu Tree Planting Initiative yang melibatkan penanaman pokok kelapa oleh pelajar UNNES sebagai simbolik usaha memelihara alam sekitar dan menghijaukan kawasan program. Selesai penanaman pokok, program diteruskan dengan sesi fotografi sebagai kenangan dan simbol penghargaan terhadap kerjasama yang terjalin sepanjang program berlangsung.

Penglibatan aktif dari pelajar UNNES juga dapat dilihat dalam program yang telah dilaksanakan pada hari kedua iaitu Program Into The Depth yang melibatkan pendedahan kepada pelajar UNNES berkaitan warisan sejarah, pelancongan dan keunikan alam semula jadi di negeri Perak. Program dimulakan dengan perjalanan peserta ke Gua Tempurung yang terkenal sebagai salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. Para peserta diberikan peluang meneroka keunikan pembentukan gua batu kapur serta mempelajari kepentingan pemeliharaan warisan alam semula jadi. Aktiviti ini berjaya memberikan pengalaman baru kepada peserta di samping meningkatkan kefahaman mereka terhadap aspek geografi fizikal dan pelancongan alam semula jadi.

Program diteruskan dengan lawatan ke Kellie’s Castle yang merupakan salah satu bangunan warisan sejarah terkenal di negeri Perak. Peserta didedahkan dengan sejarah pembinaan istana tersebut serta nilai warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Lawatan ini turut memberi peluang kepada peserta memahami unsur sejarah dan seni bina kolonial yang terdapat pada bangunan berkenaan disamping pemandangan yang indah sekitar bangunan tersebut.

Selain itu, peserta turut dibawa melawat Tasik Cermin iaitu tasik bekas lombong yang terkenal dengan keindahan panorama alam semula jadi dan pantulan air yang unik. Keindahan kawasan tersebut berjaya menarik perhatian peserta dan memberi peluang untuk mengumpul pengalaman yang unik.

Program diteruskan lagi dengan lawatan ke Concubine Lane yang terkenal sebagai kawasan pelancongan bersejarah di Ipoh. Peserta berpeluang meneroka budaya, sejarah serta menikmati suasana klasik yang terdapat di kawasan tersebut. Peserta juga telah mendapat peluang untuk mengumpul cenderahati sebagai kenangan yang unik sepanjang program Into The Depth.

   

Sepanjang program berlangsung, peserta dari UPSI dan UNNES dilihat aktif berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai aspek geografi, budaya dan pelancongan antara kedua-dua negara. Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa, malah turut meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa.

Secara keseluruhannya, program Green Legacy dan Into The Depth berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberikan pengalaman yang bermakna kepada semua peserta yang terlibat. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antarabangsa, meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta melahirkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing di peringkat global.