Disediakan oleh: Siti Norsyafisah Lamasah
Tanjong Malim, 13 Jun 2026 – Pembentukan generasi muda yang beretika, berdisiplin dan berkepimpinan profesional terus diperkasakan menerusi penganjuran Program PROTOKOLISTA: Learn, Live and Lead with Etiquette. Program anjuran Exco Perhubungan Awam dan Korporat, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang AURRA 2025/2026 dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli Muhammad ini telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Seminar, Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini menjadi platform pendedahan awal kepada peserta mengenai kepentingan protokol dan etika rasmi yang merangkumi aspek pengurusan majlis, susunan keutamaan, etika berpakaian serta komunikasi profesional dalam kehidupan seharian dan dunia kepimpinan.



Selaras dengan tema “Learn, Live and Lead with Etiquette”, program ini bukan sahaja menekankan aspek teori, malah turut memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran melalui sesi latihan praktikal yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung.
Pengarah Program, Saudari Yumni Khairulanwar, berkata PROTOKOLISTA diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan etika dan profesionalisme dalam kehidupan seharian.
“Program ini dirangka bukan hanya untuk memberi ilmu, tetapi untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang beretika, berkeyakinan dan berintegriti. Kami berharap peserta dapat menghayati tema Learn, Live and Lead with Etiquette dan mengaplikasikannya dalam kehidupan sebenar,” ujarnya.



Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi ice-breaking, perkongsian teori berkaitan protokol dalam kepimpinan serta latihan amali yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. Aktiviti ini turut menggalakkan kerjasama, komunikasi berkesan dan keyakinan diri dalam kalangan peserta.
Sementara itu, wakil SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Encik Fauzi Jamaluddin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, menyifatkan program ini sebagai platform penting dalam pembangunan sahsiah pelajar.
“Kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi. Pelajar juga perlu memiliki kemahiran komunikasi yang baik, memahami adab serta etika dalam pelbagai situasi dan mampu membawa diri dengan penuh keyakinan,” tegas beliau.


Majlis turut disempurnakan oleh Encik Alamin Ismail, Felo Pentadbiran Kolej Ungku Omar, yang merasmikan program tersebut. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa protokol dan etika merupakan elemen penting dalam pembentukan kepimpinan profesional.
“Protokol dan etika bukan sekadar tatacara dalam majlis rasmi, tetapi merupakan cerminan keperibadian seseorang. Individu yang memahami adab dan etika akan lebih mudah memperoleh kepercayaan, dihormati masyarakat serta mampu memimpin dengan berkesan,” jelas beliau.
PROTOKOLISTA bukan sekadar program berbentuk bengkel, malah menjadi wadah pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah yang menyokong aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan yang holistik, berketerampilan dan berdaya saing.

