oleh Nur Alia Zahirah Zainon Hamzah Tai, Muhammad Aqil Amsyar Ramlan dan Profesor Madya Dr Abdul Halim Masnan
Tanjong Malim, 5 – 7 Jun 2026 – FPM FEST 2026 kembali mencipta kemeriahan tersendiri dengan pelbagai pengisian bermakna yang berjaya menyatukan mahasiswa, pensyarah, kakitangan, ibu bapa mahasiswa serta alumni Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dianjurkan oleh Fakulti Pembangunan Manusia dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pusat Alumni UPSI serta badan-badan pelajar di bawah fakulti, festival ini menjadi medan penyatuan warga fakulti di samping memperkasa pembangunan mahasiswa melalui pengisian berteraskan akademik, kepimpinan, kebudayaan, keusahawanan dan kesejahteraan diri.
Penganjuran FPM FEST 2026 bukan sahaja bertujuan menyediakan ruang pembelajaran di luar bilik kuliah, malah berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat kekeluargaan dalam kalangan warga fakulti. Penglibatan pelbagai pihak termasuk alumni, agensi universiti dan persatuan mahasiswa turut menjadikan festival ini lebih inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti kampus.
Penganjuran FPM FEST 2026 bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan antara warga Fakulti Pembangunan Manusia yang melibatkan mahasiswa, pensyarah, kakitangan, ibu bapa serta alumni. Selain itu, festival ini turut menjadi platform untuk mengembangkan potensi mahasiswa melalui pengisian yang membina kemahiran kepimpinan, komunikasi, kreativiti dan pembangunan sahsiah, di samping memupuk kesejahteraan serta budaya kolaborasi dalam komuniti fakulti.
Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Dr. Abdul Talib Bin Mohamed Hashim, FPM Fest bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi medan penting untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.
“FPM Fest adalah cerminan kepada semangat warga FPM yang sentiasa dinamik, kreatif dan proaktif. Saya percaya program seperti ini mampu mengasah potensi mahasiswa serta memperkukuh nilai insaniah yang menjadi teras pendidikan di UPSI,” ujar beliau semasa menyempurnakan majlis perasmian. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana, rakan kolaborasi serta seluruh warga FPM yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan festival pada tahun ini
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FPM, PM Dr Abdul Halim bin Masnan, berkata penganjuran FPM FEST pada tahun ini memberi penekanan kepada elemen kebersamaan dan penglibatan komuniti fakulti secara menyeluruh.
“Kami mahu FPM FEST 2026 menjadi lebih daripada sekadar sebuah festival. Program ini dirancang sebagai ruang untuk mahasiswa, pensyarah, staf dan alumni berkumpul, berinteraksi dan membina hubungan yang lebih erat melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.”
Beliau turut menjelaskan bahawa penglibatan alumni dalam beberapa program utama memberikan nilai tambah kepada mahasiswa melalui perkongsian pengalaman dan inspirasi berkaitan dunia pekerjaan serta pembangunan kerjaya.“Kehadiran alumni membuktikan bahawa hubungan yang terjalin di fakulti tidak terhenti selepas tamat pengajian. Mereka kembali berkongsi pengalaman dan menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa yang sedang membina hala tuju masa hadapan.
Sepanjang FPM FEST 2026 berlangsung, pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi memenuhi keperluan dan minat pelbagai lapisan warga kampus.
Program dimulakan dengan Majlis Perasmian FPM FEST 2026 sebelum diteruskan dengan The Cursed Night Run, iaitu larian malam yang menggabungkan elemen kecergasan, cabaran dan keseronokan dalam suasana yang unik.
Bagi pengisian berbentuk akademik dan pembangunan diri, pelbagai forum serta sesi perkongsian ilmu telah diadakan dengan penglibatan panel jemputan daripada pelbagai bidang termasuk alumni Fakulti Pembangunan Manusia. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa memperoleh pendedahan berkaitan pembangunan kerjaya, kepimpinan dan isu-isu semasa.



Pengunjung turut berpeluang mengunjungi pelbagai booth pameran yang disediakan oleh Pusat Alumni UPSI, Psychological First Aid (PFA) UPSI, Kelab Pecinta Haiwan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UPSI serta beberapa organisasi dan agensi lain yang menawarkan maklumat serta aktiviti interaktif.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah Misteri di Sebalik Gerbang, sebuah rumah hantu yang menawarkan pengalaman mendebarkan kepada para pengunjung. Selain itu, aktiviti Sinar: Terapi Diri Dalam Gelap pula memberi pengalaman yang lebih reflektif dengan memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental.
Hari kedua festival diteruskan dengan Majlis Anugerah Dekan, yang meraikan kecemerlangan mahasiswa dalam bidang akademik dan kokurikulum. Turut berlangsung ialah Sesi Perjumpaan Ibu Bapa, Pensyarah dan Mahasiswa, yang menjadi platform memperkukuh hubungan antara pihak fakulti dan keluarga mahasiswa.
Kemuncak FPM FEST 2026 menyaksikan penganjuran Malam Citra Budaya, yang pelbagai persembahan menarik. Program tersebut turut diserikan dengan persembahan khas daripada Najwa Latif, yang berjaya menarik perhatian dan menceriakan suasana malam kemuncak festival.
Secara keseluruhannya, FPM FEST 2026 berjaya mencapai matlamatnya sebagai medium penyatuan warga Fakulti Pembangunan Manusia melalui pelbagai pengisian yang bersifat inklusif, bermanfaat dan berimpak tinggi. Penganjuran festival ini bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri, malah berjaya memperkukuh hubungan antara mahasiswa, pensyarah, kakitangan dan alumni dalam suasana yang penuh harmoni.
Diharapkan FPM FEST akan terus menjadi platform yang mampu menyemarakkan semangat kebersamaan, memupuk budaya ilmu dan melahirkan warga universiti yang cemerlang, seimbang serta berdaya saing pada masa hadapan.

