Penyerahan waqaf al-Quran oleh Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah kepada kariah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Ketam, Pahang.Penyerahan waqaf al-Quran oleh Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah kepada kariah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Ketam, Pahang.

TEMERLOH, 16 September — Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya telah melaksanakan inisiatif murni menerusi penyerahan sebanyak 200 naskhah Al-Quran kepada komuniti Daerah Temerloh bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kampung Ketam, Pahang.

Program penyerahan ini bertujuan untuk menyantuni masyarakat setempat di samping memperkasakan peranan universiti dalam pembangunan sahsiah, nilai murni, dan kerohanian komuniti akar umbi.

Mengulas mengenai penganjuran program tersebut, Pengarah UCTC menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak universiti dalam merapatkan hubungan bersama masyarakat luar.

“Melalui kerjasama strategik bersama pihak pengurusan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, kita berhasrat untuk menyemarakkan lagi budaya membaca dan mendalami isi kandungan Al-Quran dalam kalangan ahli kariah serta generasi muda di Daerah Temerloh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, turut merakamkan sokongan penuh terhadap usaha pemerkasaan komuniti ini dan menegaskan peranan universiti yang melangkaui tembok akademik.

Dalam ucapannya, beliau berkata, “Peranan universiti bukan sahaja terhad kepada kecemerlangan akademik di dalam kampus, malah merangkumi tanggungjawab sosial. Sumbangan 200 naskhah Al-Quran ini diharap dapat menjadi asbab serta pendorong utama kepada komuniti untuk terus mengimarahkan masjid dan menjadikan Al-Quran sebagai pegangan utama kehidupan.”

Penganjuran program seumpama ini membuktikan keprihatinan UPSI dalam memperkasakan ukhuwah bersama masyarakat, sekali gus merealisasikan peranan UCTC sebagai pemangkin transformasi komuniti yang berilmu dan berintegriti.