oleh : Nurul Atikah Ismail @ Mohd Fadli

Tanjong Malim, Perak, 4 Oktober 2026 – Program Gotong-Royong : Misi Membersihkan Kolej merupakan aktiviti gotong-royong anjuran Exco Blok Kediaman, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya yang telah melibatkan penyertaan penghuni daripada semua blok kediaman.

Program ini diadakan bagi mewujudkan persekitaran kolej yang bersih, selesa dan kondusif melalui penglibatan bersama warga kolej. Selain itu, aktiviti ini bertujuan memupuk semangat kerjasama, sikap bertanggungjawab serta kesedaran dalam menjaga kebersihan dan kemudahan bersama. Para penghuni turut berganding bahu membersihkan kawasan sekitar blok kediaman masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana kolej yang lebih ceria, teratur dan selesa untuk didiami.

Penganjuran program ini merupakan satu usaha dalam membentuk mahasiswa yang prihatin terhadap kebersihan dan keadaan persekitaran tempat tinggal. Aktiviti gotong-royong bukan sahaja dapat mewujudkan kawasan kolej yang lebih bersih dan selesa, malah dapat memupuk sikap bertanggungjawab serta kesedaran dalam kalangan penghuni untuk bersama-sama menjaga kebersihan kawasan kediaman. Kerjasama yang ditunjukkan sepanjang aktiviti turut mewujudkan semangat kekitaan dan suasana kekeluargaan dalam kalangan warga KHAR.

Program ini mendapat sambutan yang baik daripada penghuni kolej dan pihak pengurusan kolej yang bersama-sama memberikan komitmen dalam menjayakan aktiviti yang telah dirancang. Penglibatan bersama ini membuktikan bahawa kebersihan kolej merupakan tanggungjawab setiap penghuni bagi memastikan persekitaran kediaman sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas dan kondusif.

Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan terus dipupuk dalam kalangan penghuni kolej. Melalui usaha ini juga, KHAR dapat membentuk mahasiswa yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin serta mengamalkan semangat kerjasama dalam kehidupan seharian sebagai warga KHAR serta Anak Kandung Suluh Budiman.