PORT DICKSON, 20 OKTOBER 2026 – Pasukan Rekoder dan Genderang Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 melakar kejayaan membanggakan apabila mewakili negeri Perak dalam Pertandingan Rekoder dan Genderang Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Glory Beach Resort, Port Dickson.

Lebih manis, negeri Perak berjaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Rekoder dan Genderang Peringkat Kebangsaan 2026. Kejayaan tersebut turut diserikan dengan pencapaian istimewa apabila adik Muhammad Fakhrullah Fauzan bin Muhammad Fadil menerima Anugerah Khas Konduktor Terbaik, sekali gus menambah kilauan kejayaan kontinjen Perak di pentas kebangsaan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha gigih, disiplin, komitmen dan latihan berterusan mampu menghasilkan kecemerlangan dalam bidang seni muzik. Pengiktirafan yang diterima bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah, malah turut mengharumkan nama negeri Perak.

Kejayaan pasukan ini tidak dapat dipisahkan daripada komitmen barisan pengurusan dan jurulatih yang sentiasa memberikan bimbingan serta sokongan sepanjang persediaan menghadapi pertandingan. Pasukan ini dibimbing oleh Puan Siti Norfadhilah binti Mior Pendawa selaku jurulatih utama dan Encik Mohammad Syahir bin Abdul Majid selaku jurulatih genderang, manakala Puan Norshahida binti Nor Azmi bertindak sebagai pengurus kontinjen.

Pasukan ini turut menerima khidmat bantu daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang diwakili oleh Encik Zamrus bin Hashim dan Encik Mohd Mustaqim bin Abdullah. Bimbingan, perkongsian ilmu dan kepakaran yang diberikan amat bermakna dalam membantu meningkatkan mutu persembahan serta persediaan pasukan untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada pihak FMSP UPSI, khususnya Encik Zamrus bin Hashim dan Encik Mohd Mustaqim bin Abdullah, atas segala khidmat bantu, masa dan tenaga yang telah dicurahkan. Sokongan yang diberikan amat dihargai dan menjadi sebahagian daripada usaha bersama dalam merealisasikan kejayaan ini.

Kejayaan meraih gelaran johan kebangsaan serta Anugerah Khas Konduktor Terbaik diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga sekolah untuk terus melahirkan murid yang berbakat, berdisiplin, kreatif dan berdaya saing. Pencapaian ini juga membuktikan bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah, jurulatih dan institusi pendidikan tinggi mampu membuka ruang yang lebih luas untuk pembangunan bakat serta kecemerlangan murid.

Tahniah kepada seluruh pasukan Rekoder dan Genderang SK Bandar Behrang 2020, adik Muhammad Fakhrullah Fauzan bin Muhammad Fadil, barisan jurulatih, pengurus kontinjen serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan gemilang ini.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus mengharumkan nama SK Bandar Behrang 2020 dan negeri Perak di persada seni muzik kebangsaan