Oleh: Muhammad Faiz Hakim bin Sharudin
TANJUNG MALIM, 25 APRIL 2026 – Program Jom Masuk Universiti 2026 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapat sambutan meriah daripada semua golongan termasuk pelajar daripada pelbagai sekolah di Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi platform pendedahan akademik, malah turut menyerlah melalui pelbagai persembahan seni yang memukau pengunjung. Antara tarikan utama program ini ialah rangkaian persembahan yang berjaya menghidupkan suasana sepanjang acara berlangsung.
Di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, pengunjung disajikan dengan persembahan overture yang mempersembahkan tarian tradisional yang penuh keanggunan dan keunikan budaya. Para penari yang terdiri daripada pelajar Diploma Tahun Pertama, Fakulti Muzik & Seni Persembahan, UPSI mempersembahkan gerak tari yang tersusun dan penuh penghayatan, diiringi muzik tradisional yang menambahkan lagi keaslian persembahan tersebut. Persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, malah turut mencerminkan kepelbagaian warisan budaya yang masih dipelihara dalam kalangan generasi muda.



Selain itu, suasana di Atrium Dewan Tuanku Canselor turut menjadi tumpuan apabila berlangsungnya tarian tradisional bertemakan flashmob. Para penari bagi persembahan ini merupakan penari daripada Kelab Destar Limar iaitu kelab tarian utama di bawah Pusat Kebudayaan, UPSI. Persembahan yang dilakukan ini berjaya menarik perhatian pengunjung yang berada di sekitar kawasan tersebut. Tanpa memerlukan pentas formal, para penari tampil penuh bertenaga, sekaligus mewujudkan suasana yang lebih santai dan interaktif antara peserta program dan pengunjung.
Tidak terhenti di situ, ruang atrium yang sama turut dihidupkan dengan persembahan flashmob drama tari seakan-akan teater muzikal yang unik dan kreatif yang dipersembahkan oleh pelajar Sarjana Muda Tahun Pertama, Fakulti Muzik & Seni Persembahan, UPSI. Para pelaku persembahan tampil dengan kostum pakaian sekolah, membawa jalan cerita yang dekat dengan kehidupan seharian pelajar. Elemen lakonan, nyanyian dan tarian digabungkan dengan baik, menjadikan persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menyampaikan mesej dengan berkesan kepada penonton.
Secara keseluruhannya, persembahan-persembahan yang ditampilkan dalam program JomMasukU ini bukan sahaja berjaya menceriakan suasana, malah memainkan peranan penting dalam mempamerkan bakat serta kreativiti pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kepelbagaian bentuk persembahan seperti tarian tradisional, flashmob dan drama tari jelas menunjukkan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga aktif dan berbakat dalam bidang seni persembahan. Hal ini sekaligus memberikan gambaran positif kepada pengunjung tentang suasana kampus yang dinamik dan seimbang dari segi pembangunan intelek dan sahsiah.
Impaknya, persembahan yang diadakan juga berfungsi sebagai medium komunikasi yang berkesan dalam menarik minat bakal pelajar untuk mengenali UPSI dengan lebih dekat. Melalui pendekatan yang santai dan interaktif, mesej mengenai kehidupan kampus dapat disampaikan dengan lebih mudah dan berkesan. Secara tidak langsung, usaha ini membantu membina hubungan emosi antara pengunjung dan institusi, seterusnya meningkatkan kecenderungan mereka untuk memilih UPSI sebagai destinasi pengajian pilihan.

