Peserta Program Pemindahan Ilmu Pelestarian Seni Persembahan Warisan Rakyat Mek Mulung Berasaskan PenyelidikanPeserta Program Pemindahan Ilmu Pelestarian Seni Persembahan Warisan Rakyat Mek Mulung Berasaskan Penyelidikan

Oleh: Lena Farida Hussain Chin

Tanjong Malim, 26 Januari 2025 – Usaha pelestarian seni warisan rakyat Mek Mulung mencatat kejayaan membanggakan apabila murid SMK Methodist (ACS) Sitiawan, Perak berjaya menguasai dan mempersembahkan Mek Mulung secara kendiri dalam Majlis Apresiasi Akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum pada 10 Disember 2025.

Kejayaan ini merupakan hasil langsung Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme) Pelestarian Mek Mulung yang dilaksanakan oleh penyelidik Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11.

Program tersebut melibatkan forum ilmiah, bengkel teori dan amali serta latihan pementasan berstruktur bersama komuniti sekolah sebagai rakan strategik.

Seramai 100 peserta terlibat termasuk 20 orang pelajar UPSI, 50 murid SMK Methodist (ACS) Sitiawan, 12 murid PPKI SMK Seri Samudera dan orang awam.

Lebih membanggakan, murid yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman seni tradisi kini mampu menguasai gerak, dialog, nyanyian rakyat dan struktur persembahan Mek Mulung yang autentik.

Persembahan mereka di pentas sekolah menjadi bukti kejayaan pemindahan ilmu daripada pengamal tradisi dan akademia kepada generasi muda.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Methodist (ACS) Sitiawan, Norazura Mohamad, menyatakan rasa bangga terhadap kemenjadian murid dalam menguasai warisan budaya bangsa.

Beliau menegaskan kejayaan ini akan dijadikan asas memperkukuh aktiviti kokurikulum seni budaya dan menjadikan sekolah sebagai perintis pelestarian seni tradisi peringkat negeri.

Program ini bukan sahaja memindahkan kemahiran lakonan, tarian dan muzik tradisi, malah membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

Kejayaan murid mengendalikan persembahan secara mandiri membuktikan keberkesanan latihan berfasa dan bimbingan pakar dalam pewarisan seni warisan.

Bukan sahaja di pentas sekolah, peserta fasa pertama program ini yang terdiri dari pelajar Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) Semester 5 turut dijemput berkolaborasi bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Pertubuhan AKRAB dalam Pementasan Mek Mulung Afrot.

Saifulwazien Mohamad Jelani, Karyawan Tamu Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI turut berlakon sebagai watak utama dalam pementasan Mek Mulung Afrot
Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung berjudul Afrot 9 & 10 Januari 2026

Pementasan berskala nasional itu berlangsung pada 9 hingga 10 Januari 2026 di Dewan Tuanku Canselor UPSI. Penglibatan peserta muda dalam produksi profesional tersebut menandakan pengiktirafan terhadap keberkesanan program pemindahan ilmu dalam melahirkan pelapis seni tradisi berwibawa.

Hampir 10,000 penonton yang hadir secara bersemuka dan dalam talian untuk menyaksikan pementasan kali ini.

Kejayaan ini membuktikan pelestarian Mek Mulung bukan lagi sekadar dokumentasi warisan, tetapi telah dihidupkan semula sebagai seni hidup yang berkembang bersama generasi baharu.

Program KTP Mek Mulung kini menjadi model pemindahan ilmu berimpak tinggi dalam memastikan kesinambungan warisan budaya bangsa terus terpelihara.