Oleh: Siti Nor Fatihah Suhaimi

TANJUNG MALIM, 25 Oktober 2026 – Exco Penginapan dan Kebajikan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama  Pusat kesihatan Daerah Muallim, telah menganjurkan KHAR Prihatin: Program Gotong-royong Mega pada 25 Oktober 2026 di sekitar Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Program ini merupakan inisiatif untuk memperkukuh kesedaran warga kolej terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan melaksanakan langkah pencegahan pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko penularan demam denggi.

Bertemakan “Bersama Menjaga Kebersihan, Cegah Denggi”, program ini melibatkan penghuni KHAR dalam aktiviti pembersihan persekitaran dan pemeriksaan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen pihak kolej dalam membudayakan amalan kebersihan, memupuk sikap bertanggungjawab dan mewujudkan persekitaran kediaman yang bersih, sihat serta selamat.

Program ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara pihak pengurusan kolej, mahasiswa dan agensi kesihatan dalam melaksanakan usaha pencegahan denggi secara bersepadu. Pendekatan ini penting kerana pencegahan penyakit bawaan nyamuk bukan sahaja bergantung pada tindakan pihak berkuasa kesihatan, malah memerlukan penglibatan aktif komuniti dalam mengenal pasti dan menghapuskan faktor persekitaran yang menyokong pembiakan nyamuk Aedes.

Majlis dimulakan dengan ketibaan wakil Pusat kesihatan Daerah Muallim, Encik Mohamad Shamsi bin Mohodin, bersama pasukan PKD yang terlibat, serta Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah. Majlis pembukaan diteruskan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, bacaan doa, ucapan Pengarah Program, Vimaleswaree A/P Manimaran, dan ucapan Pengetua KHAR. Sesi ini menjadi platform untuk menjelaskan tujuan penganjuran program serta menekankan kepentingan penglibatan warga kolej dalam menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran.

Seterusnya, peserta mengikuti taklimat pencegahan demam denggi yang disampaikan oleh Encik Mohamad Shamsi bin Mohodin, wakil  Pusat  Kesihatan Daerah Muallim. Taklimat tersebut memberikan penerangan tentang langkah pencegahan denggi, kaedah mengenal pasti kawasan berisiko dan tindakan yang boleh diambil untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Antara aspek yang diberikan perhatian termasuklah kewujudan tempat air bertakung di dalam bekas makanan yang berada di dalam dan di luar rumah, kawasan longkang serta di kawasan persekitaran blok  yang berpontensi  menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Pendedahan ini membantu meningkatkan pemahaman peserta bahawa pencegahan denggi memerlukan tindakan yang konsisten dan tidak boleh terhad kepada aktiviti pembersihan secara berkala sahaja. Pemeriksaan persekitaran secara berterusan, penghapusan air bertakung dan keprihatinan terhadap kebersihan kawasan kediaman merupakan antara amalan penting yang perlu dijadikan sebahagian daripada budaya hidup warga kolej.

Selepas sesi taklimat, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum diberikan penerangan tentang kaedah pembersihan dan kawasan yang perlu diberikan perhatian. Aktiviti gotong-royong kemudiannya dilaksanakan mengikut kawasan yang telah ditetapkan, termasuk membersihkan persekitaran dan memeriksa lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pelaksanaan aktiviti secara berkumpulan bukan sahaja membantu memastikan tugasan dilakukan dengan lebih teratur, malah memupuk semangat kerjasama, disiplin dan tanggungjawab bersama dalam kalangan penghuni kolej. Penglibatan secara langsung ini turut memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menterjemahkan pengetahuan yang diperoleh melalui taklimat kepada tindakan praktikal dalam persekitaran kehidupan seharian.

Dari sudut pembangunan komuniti kampus, program seperti ini mempunyai nilai yang lebih luas daripada aktiviti pembersihan fizikal semata-mata. Program ini berpotensi membentuk kesedaran kolektif bahawa penjagaan kesihatan persekitaran merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama berterusan antara mahasiswa, pihak pengurusan kolej dan agensi kesihatan. Kesedaran tersebut perlu diteruskan melalui amalan harian serta pemantauan berkala supaya usaha pencegahan dapat dikekalkan selepas program berakhir.

Secara keseluruhannya, KHAR Prihatin: Program Gotong-royong Mega merupakan satu inisiatif yang menggabungkan pendidikan kesihatan, penglibatan mahasiswa dan kerjasama antara institusi dalam usaha memperkukuh pencegahan denggi. Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan tentang kaedah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, malah turut menyemai nilai keprihatinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kolej.

Sehubungan itu, usaha pencegahan denggi perlu diteruskan melalui pemeriksaan kebersihan secara berkala, penghapusan tempat pembiakan nyamuk dan penglibatan aktif seluruh komuniti kolej. Kerjasama yang berterusan antara pihak pengurusan KHAR, kepimpinan mahasiswa, penghuni kolej dan agensi kesihatan diharapkan dapat memperkukuh budaya pencegahan serta menyumbang kepada pembentukan persekitaran kampus yang bersih, sihat, selamat dan sejahtera.