1. Peserta sesi pagi Program Terrarium Through Healing (TTH): Siri 2 yang melibatkan pelajar UPSI terlibat dalam insiden kemalangan bas di Gerik bersama fasilitator dan wakil penganjur.

Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid

TANJONG MALIM, 21 Oktober 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Terrarium Through Healing (TTH): Siri 2 bertemakan “Disrupted Minds: Finding Calm Through Nature” bertempat di Bitara Siswa, KSAJS, Kampus Lama UPSI.

Program ini merupakan inisiatif Pusat Kaunseling UPSI di bawah Emocare Wellness Series 2026 yang menyediakan ruang kepada peserta untuk meneroka kreativiti, melakukan refleksi kendiri dan menikmati pengalaman berasaskan alam semula jadi dalam suasana yang santai dan bermakna.

Pelaksanaan Siri 2 dibahagikan kepada dua sesi dengan kumpulan sasaran yang berbeza. Sesi pagi melibatkan seramai 30 orang pelajar UPSI yang terlibat dalam insiden kemalangan bas di Gerik, manakala sesi petang dibuka kepada staf dan pelajar UPSI serta peserta luar yang mendaftar untuk menyertai bengkel berbayar.

Program ini disampaikan oleh En. Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid, Pegawai Tadbir N9, dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan BYCA Design selaku fasilitator bengkel terrarium.

Melalui pendekatan berasaskan alam, peserta berpeluang meluangkan masa untuk diri sendiri, berinteraksi dengan peserta lain dan meneroka kreativiti melalui aktiviti membina terrarium. Penghasilan ekosistem mini menggunakan tumbuhan, lumut, batu dan elemen semula jadi menjadi pengalaman utama yang menggabungkan kreativiti dengan refleksi kendiri.

Peserta mengikuti aktiviti membina terrarium sebagai sebahagian daripada pengisian kesejahteraan berasaskan alam semula jadi
Peserta sesi petang yang terdiri daripada staf, pelajar UPSI dan peserta luar menyertai bengkel Terrarium Through Healing (TTH): Siri 2.
Peserta menunjukkan hasil terrarium yang telah disiapkan sepanjang bengkel

Kemuncak program ialah bengkel Terrarium Experience yang dikendalikan oleh fasilitator daripada BYCA Design. Peserta dibimbing untuk menghasilkan terrarium masing-masing melalui proses pemilihan bahan dan penyusunan elemen semula jadi. Aktiviti ini memberikan pengalaman secara langsung kepada peserta untuk berkarya sambil menikmati proses pembinaan terrarium dalam suasana yang santai.

Bagi sesi pagi, pengisian program memberi ruang kepada pelajar yang terlibat dalam insiden kemalangan bas di Gerik untuk menyertai aktiviti kreatif dan berinteraksi dalam suasana yang selesa. Pendekatan yang digunakan tidak mewajibkan peserta berkongsi pengalaman peribadi yang tidak selesa untuk dibincangkan.

Sesi petang pula memberi peluang kepada staf, pelajar UPSI dan peserta luar untuk menikmati pengalaman bengkel yang sama sebagai salah satu aktiviti penjagaan kendiri. Peserta turut berpeluang membawa pulang terrarium yang dihasilkan sebagai kenangan daripada program.

Maklum balas peserta menunjukkan bahawa aktiviti membina terrarium dan refleksi kendiri merupakan antara pengisian yang memberikan manfaat kepada mereka. Seorang peserta menyifatkan keseluruhan program sebagai “All of it, very fun and stress free”, manakala seorang lagi berkongsi bahawa aktiviti “My Little Terrarium, My Little Pause” sangat menenangkan, khususnya bagi individu yang sering berasa resah.

Seorang peserta turut menyatakan hasrat untuk menyertai lebih banyak aktiviti berasaskan alam kerana pengalaman tersebut dirasakan “sangat santai dan tenang”. Terdapat juga cadangan supaya lebih banyak ruang perkongsian disediakan agar peserta dapat memperkenalkan nama terrarium masing-masing serta berkongsi makna di sebalik hasil kreativiti mereka.

Maklum balas ini menjadi input berguna kepada pihak penganjur untuk menambah baik pengisian program pada masa hadapan. Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan potensi aktiviti berasaskan alam sebagai medium kreatif untuk menggalakkan refleksi kendiri, interaksi sosial dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti universiti.

Pusat Kaunseling UPSI merakamkan penghargaan kepada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), BYCA Design, semua peserta dan jawatankuasa pelaksana atas kerjasama dalam menjayakan Program Terrarium Through Healing (TTH): Siri 2. Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan penjagaan kesejahteraan diri dalam komuniti universiti.