Para peserta mengambil gambar kenangan bersama penyelaras dan para fasilitator selepas tamat programPara peserta mengambil gambar kenangan bersama penyelaras dan para fasilitator selepas tamat program

Oleh: Noor Syaibah binti Shabuddin

TANJONG MALIM, 26 September 2026 – Program MIHRAB 3.0 (Non-Muslim) yang bertemakan peningkatan kesedaran nilai hidup, adab dan akhlak, kesejahteraan mental serta keselamatan sosial dalam kalangan mahasiswa telah berlangsung di Dewan Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Pusat Kaunseling UPSI dengan kerjasama Pusat Islam UPSI ini melibatkan seramai 150 orang mahasiswa bukan Islam terpilih daripada 10 fakulti di UPSI. Pelaksanaannya bertujuan meningkatkan kesedaran kendiri mahasiswa, memperkukuh kemahiran interpersonal dan komunikasi serta memupuk sikap saling menghormati dalam persekitaran kampus yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Program dimulakan dengan slot pengenalan oleh Puan Najidah binti Yahaya, Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UPSI merangkap penyelaras utama MIHRAB 3.0. Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti empat modul utama, iaitu Nilai Hidup, Ilmu, Amal dan Adab; Spiritual dan Kecerdasan Emosi; serta Keselamatan Hubungan Interpersonal, yang dilaksanakan bagi menyokong pembangunan diri dan kesejahteraan mahasiswa.

Melalui aktiviti interaktif dan reflektif yang dijalankan, peserta berpeluang mengenali kekuatan diri, menilai nilai yang menjadi pegangan hidup serta mengembangkan kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama. Pengisian program turut memberi penekanan kepada empati, penghargaan terhadap kepelbagaian, sensitiviti gender dan interaksi sosial tanpa prejudis bagi membentuk hubungan yang lebih positif dan harmoni dalam kalangan warga kampus.

Taklimat ringkas program dan pengenalan program disampaikan oleh Puan Najidah binti Yahaya, Pegawai Psikologi di Pusat Kaunseling UPSI merangkap penyelaras utama program MIHRAB 3.0
Antara Timbalan Dekan HEPA fakulti dan wakil fakulti yang hadir memantau penglibatan pelajar fakulti masing-masing
Peserta memberikan fokus dan kerjasama yang sangat baik sepanjang 4 modul dilaksanakan

Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang pelaksanaan keempat-empat modul mencerminkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti pembangunan kendiri. Program turut diserikan dengan sesi kuiz dan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan terhadap penyertaan serta penguasaan peserta terhadap kandungan yang disampaikan.

Keberkesanan program turut dinilai melalui ujian kefahaman sebelum dan selepas pelaksanaan program. Hasil penilaian tersebut menunjukkan peningkatan kefahaman peserta, sekali gus memberikan petunjuk positif terhadap pencapaian objektif program dalam memperkukuh kesedaran kendiri, kemahiran emosi dan kefahaman tentang keselamatan hubungan interpersonal.

MIHRAB 3.0 diharapkan dapat menjadi salah satu platform berterusan dalam menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik, bukan sahaja dari aspek akademik, malah merangkumi pembentukan nilai diri, kematangan emosi dan keupayaan membina hubungan sosial yang sihat. Usaha ini juga selari dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang seimbang, beretika dan mampu menghargai kepelbagaian dalam kehidupan bermasyarakat.