Oleh: Putri Nuril Qistina binti Shah Rizal Azwan dan Noor Syaibah binti Shabuddin
TANJONG MALIM, 19 September 2026 – Yang Di-Pertua Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Saudara Redzmin bin Mohamed mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih Anugerah Ikon Sembuh Bersama Alam 2026 pada Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam yang berlangsung pada 17 hingga 19 September 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Konvensyen anjuran UMT dengan kerjasama Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) itu menghimpunkan seramai 143 wakil Kelab Pembimbing Rakan Siswa daripada universiti awam seluruh Malaysia bagi memperkasa kemahiran pembimbing rakan sebaya dalam memberikan sokongan sosial serta mengembangkan potensi diri.
Antara pengisian utama konvensyen ialah bengkel kemahiran asas terapi seni melalui modul R.E.S.T. yang disampaikan oleh Dr. Rafidah binti Kastawi selaku pengasas modul tersebut, terapi Art Drawing House Tree Person (AD-HTP) oleh Dr. Mohd Radhi bin Abu Shahim, Felo Bersekutu Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM), serta bengkel kemahiran asas Sandtray Therapy yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ku Suhaila binti Ku Johari dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selain pengisian berbentuk kemahiran, konvensyen turut menyediakan platform pertandingan inovasi perkhidmatan kaunseling bagi kategori Pegawai Psikologi dan Pembimbing Rakan Siswa. Dalam pertandingan tersebut, UPSI berjaya meraih tempat pertama sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500.00 menerusi pembentangan inovasi oleh Puan Noor Syaibah binti Shabuddin mewakili ahli kumpulan inovasi. Inovasi Counselor On Wheels yang mengetengahkan konsep penyampaian perkhidmatan kaunseling kepada komuniti secara mobiliti berjaya menarik hati juri berpengalaman. Pertandingan tersebut memberi ruang kepada peserta mengetengahkan idea serta pendekatan kreatif yang berpotensi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kaunseling dan sokongan rakan sebaya di institusi pengajian tinggi.



Majlis perasmian konvensyen disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal bin Tun Abdul Razak, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, turut hadir ialah Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, serta Puan Hainany Idayu binti Yazid selaku Ketua Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMT. Penganjuran konvensyen ini turut memberi penekanan terhadap konsep Sembuh Bersama Alam yang menggalakkan peserta meneroka pendekatan kesejahteraan diri melalui interaksi dengan alam sekitar serta aktiviti yang menyokong kesihatan mental dan emosi.
Secara keseluruhannya, penyertaan UPSI dalam Konvensyen I-PEERS 2026 bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta terhadap pendekatan terapi dan kemahiran asas menolong, malah membuka peluang untuk memperkukuh jaringan kolaborasi, perkongsian ilmu serta inovasi dalam bidang kaunseling dan pembangunan mahasiswa. Program seperti ini diharapkan dapat melahirkan pembimbing rakan siswa yang lebih berkemahiran, kreatif dan responsif dalam menyokong kesejahteraan komuniti mahasiswa selaras dengan aspirasi kesejahteraan holistik UPSI.

