TANJUNG MALIM, 17 Oktober 2026 – Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha meningkatkan motivasi dan kecemerlangan akademik pelajar menerusi penganjuran program Tips Mindset 360 for Level Up Pointer (Degree) yang berlangsung di Pusat Pelajar, UPSI, pada Sabtu.
Program yang dihadiri oleh 60 peserta telah berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu dikendalikan oleh Che Noor Hawa binti Che Ismail, Kaunselor Berdaftar merangkap Timbalan Pendaftar Pusat Kaunseling UPSI. Program ini bertujuan membantu pelajar membina minda yang positif, meningkatkan keyakinan diri serta mengenal pasti strategi yang berkesan untuk mencapai sasaran Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) atau Cumulative Grade Point Average (CGPA) yang lebih baik.
Program ini dirangka untuk memberi manfaat kepada pelajar daripada pelbagai tahap pencapaian akademik, khususnya pelajar yang memperoleh PNGK di bawah 3.00 serta mereka yang mencapai PNGK 3.00 dan ke atas. Bagi pelajar yang memperoleh PNGK di bawah 3.00, program ini memberi penekanan kepada usaha membina semula motivasi, memulihkan keyakinan diri dan mengenal pasti langkah penambahbaikan yang realistik bagi meningkatkan pencapaian akademik. Sementara itu, pelajar yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas turut digalakkan untuk mengekalkan prestasi sedia ada, memperkukuh strategi pembelajaran dan berusaha mencapai pencapaian yang lebih cemerlang.
Pendekatan ini menekankan bahawa peningkatan akademik bukan hanya tertumpu kepada usaha memperbaiki keputusan yang rendah, malah turut melibatkan komitmen berterusan untuk mengekalkan dan meningkatkan pencapaian yang telah diraih. Setiap pelajar berpeluang mengenal pasti kekuatan diri, menilai corak pembelajaran serta menetapkan matlamat akademik yang bersesuaian dengan keupayaan dan potensi masing-masing.
Sepanjang program, penekanan turut diberikan kepada kepentingan fokus, motivasi, disiplin dan keyakinan diri sebagai elemen yang menyokong usaha mencapai kecemerlangan akademik. Pelajar juga digalakkan menetapkan matlamat kecil yang realistik dan boleh dicapai sebagai langkah berperingkat ke arah peningkatan PNGK. Pendekatan reflektif dan interaktif yang diterapkan diharap dapat membantu pelajar memahami potensi diri serta membentuk sikap yang lebih positif dalam menghadapi cabaran pengajian.
Salah seorang peserta yang menghadiri program tersebut, Saudari Ammiera Nabilla binti Norasikin berpandangan bahawa perkongsian yang disampaikan memberikan perspektif yang lebih jelas tentang tujuan melanjutkan pengajian di universiti serta kepentingan meningkatkan pencapaian akademik secara konsisten.
“Program ini membuka mata saya tentang tujuan sebenar saya menyambung pengajian di universiti dan kepentingan untuk terus berusaha meningkatkan PNGK. Saya juga sedar bahawa kejayaan akademik bukan sekadar bergantung pada kebolehan, tetapi turut memerlukan mindset yang betul, disiplin, motivasi dan perancangan yang jelas. Perkongsian ini memberi saya semangat baharu untuk menetapkan matlamat yang lebih terarah dan berusaha memperbaiki pencapaian akademik pada semester akan datang,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan program yang menekankan penetapan matlamat dan pembangunan keyakinan diri memberikan dorongan kepada pelajar untuk tidak mudah berputus asa, sebaliknya melihat setiap cabaran akademik sebagai peluang untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan mencapai potensi diri yang lebih baik.
Selain pencapaian akademik, program ini turut mengetengahkan kepentingan menjaga kesejahteraan mental dan emosi sepanjang tempoh pengajian. Perkhidmatan kaunseling diperkenalkan sebagai satu bentuk sokongan berterusan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar untuk mengurus tekanan, meningkatkan kesedaran kendiri dan membina daya tahan ketika berhadapan dengan cabaran akademik mahupun peribadi.



Penganjuran program ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, (SDGs)), khususnya SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan. Pelaksanaan program ini mencerminkan usaha UPSI dalam menyokong kesejahteraan mental dan emosi pelajar, memperkukuh peluang pembelajaran serta menyediakan sokongan pembangunan diri yang inklusif tanpa mengira tahap pencapaian akademik.
Melalui program Tips Mindset 360 for Level Up Pointer (Degree), Pusat Kaunseling UPSI berharap agar pelajar lebih proaktif dalam merancang perjalanan akademik, berkeyakinan untuk memperbaiki kelemahan dan konsisten mengekalkan prestasi yang baik. Inisiatif ini turut memperkukuh komitmen universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki ketahanan diri, kematangan emosi dan keupayaan mengurus cabaran secara positif.

