Oleh: Muhammad Syamim Aiman Abd Hamid
TANJONG MALIM, 11 September 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Terrarium Through Healing (TTH): Siri 1, “Disrupted Minds: Finding Calm Through Nature” bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI dengan penyertaan warga UPSI.
Program yang bertemakan “Disrupted Minds: Finding Calm Through Nature” ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Kaunseling UPSI di bawah Emocare Wellness Series 2026 yang memberi ruang kepada peserta untuk berhenti seketika daripada rutin harian, meneroka kreativiti serta melakukan refleksi kendiri melalui pengalaman berasaskan alam semula jadi.
TTH Siri 1 turut memberi penekanan kepada kesejahteraan psikologi melalui pendekatan yang santai dan kreatif, dengan aktiviti terrarium dijadikan sebagai medium untuk membantu peserta memberi perhatian kepada pengalaman semasa, menetapkan niat peribadi serta meneroka makna di sebalik hasil kreativiti yang dihasilkan.
Program ini dikendalikan oleh En. Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid selaku Pengarah Program dengan sokongan jawatankuasa pelaksana serta kerjasama BYCA Design sebagai fasilitator bagi aktiviti terrarium.
Pengisian program dimulakan dengan sesi Mind Check-In: “How Is Your Mind Today?” yang memberi peluang kepada peserta mengenal pasti keadaan diri sebelum meneruskan aktiviti. Sesi diteruskan dengan aktiviti Ice Breaking: “Disrupted Minds”, mini psikoedukasi bertemakan Finding Calm Through Nature serta Personal Intention Setting: “What Do I Want to Grow?”.
Kemuncak program ialah Nature Based Therapeutic Workshop: Terrarium Experience yang membolehkan peserta menghasilkan terrarium masing-masing dengan bimbingan fasilitator. Aktiviti ini memberikan pengalaman hands-on kepada peserta untuk mencipta sebuah ekosistem mini sambil menikmati suasana yang tenang dan berasaskan alam semula jadi.
Selepas menyiapkan terrarium, peserta turut mengikuti sesi Reflection & Meaning Making: “My Terrarium, My Story” bagi meneroka makna peribadi yang dikaitkan dengan hasil terrarium masing-masing. Sesi Sharing Circle & Group Feedback kemudiannya memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan refleksi sepanjang mengikuti program.
Program turut menyediakan Reflection Workbook sebagai medium untuk peserta merekodkan pengalaman, niat peribadi dan refleksi sepanjang aktiviti. Pendekatan ini menjadikan pengalaman membina terrarium bukan sekadar aktiviti kreatif, tetapi turut memberi ruang kepada peserta untuk memperlahankan rentak, memberi perhatian kepada diri dan membawa pulang satu pengalaman yang bermakna.



Penganjuran TTH Siri 1 mencerminkan usaha berterusan Pusat Kaunseling UPSI untuk menyediakan pendekatan kesejahteraan psikologi yang lebih kreatif, inklusif dan dekat dengan pengalaman harian warga universiti. Pendekatan berasaskan alam seperti ini turut membuka ruang kepada peserta untuk meneroka penjagaan kendiri melalui aktiviti yang mudah, santai dan menyeronokkan.
Pusat Kaunseling UPSI merakamkan penghargaan kepada semua peserta, jawatankuasa pelaksana dan BYCA Design atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan Program Terrarium Through Healing Siri 1. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat terus menjadi salah satu platform kesejahteraan yang menggalakkan warga universiti untuk berhenti seketika, mencipta, membuat refleksi dan kembali dengan perspektif yang lebih segar.

